2 Oktober 2024, 12:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) terus memperkasakan usaha memartabatkan bahasa kolokial atau bahasa setempat di Melaka bagi memastikannya kekal relevan dalam masyarakat, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Demikian perkongsian yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha KPN, YBhg. Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad ketika merasmikan program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti “Meh Le Belajau Loghat Melaka” di Muzium Rakyat, Bandar Hilir, pagi tadi.

Ketua Setiausaha KPN, YBhg. Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad ketika merasmikan program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti “Meh Le Belajau Loghat Melaka” di Muzium Rakyat, Bandar Hilir.

Beliau berkata,

KPN turut menyokong usaha ANM dalam mengesan, mengumpul dan memelihara maklumat serta bahan sejarah, budaya dan warisan berkaitan dengan bahasa dan loghat di Melaka yang membentuk komunikasi unik.

Beliau juga menyatakan bahawa sejarah membuktikan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi bahasa Melayu menjadi lingua franca di seluruh Kepulauan Melayu atau nusantara dan pertembungan budaya di Melaka menjadi faktor menyumbang kepada kekayaan dan kepelbagaian bahasa di negeri ini.

Tambah beliau,

Keunikan bahasa kolokial dapat dilihat menerusi percakapan oleh pelbagai bangsa dan kaum seperti Portugis, Chitty serta Baba dan Nyonya yang mewujudkan asimilasi dengan masyarakat tempatan sehingga mewujudkan budaya dan bahasa Melaka yang unik, gaya pertuturan yang ringkas, lantang dan penuh dengan unsur jenaka, sekali gus menjadikan loghat Melaka begitu dikenali dan disukai.

Katanya, bahasa mampu menjadi medium ampuh sebagai ejen perpaduan kaum serta memperkukuh semangat cinta akan sejarah, budaya dan patriotisme dalam kalangan masyarakat setempat dan rakyat Malaysia secara amnya.

Pada masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa program yang dianjurkan ini merupakan program terakhir sejak siri jelajahnya telah mula diadakan dari tahun 2023.

“Siri jelajah program ini akan ditutup dengan satu Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti yang akan diadakan pada 7 November 2024 dan 8 November 2024,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Pengarah ANM, YBhg. Dato’ Jaafar Sidek Haji Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, loghat dan dialek memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan identiti sesebuah komuniti.

ANM sentiasa komited bagi memastikan setiap khazanah dan warisan negara dipelihara dan diuruskan dengan penuh teliti.

Ketua Pengarah ANM, YBhg. Dato’ Jaafar Sidek Haji Abdul Rahman ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Katanya,

Usaha ini termasuklah mendokumentasikan dialek atau bahasa kolokial seperli loghat Melaka yang merupakan sebahagian daripada identiti budaya tempatan.

Sepanjang program ini berlangsung, sesi bicara dibahagikan kepada dua sesi, iaitu sesi bicara pertama mengulas tentang konsep dan penggunaan bahasa kolokial, manakala sesi bicara kedua memfokuskan bahasa kolokial masyarakat setempat bersama-sama pembicara yang hebat.

Sekitar berlangsungnya program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti “Meh Le Belajau Loghat Melaka”.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.