Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching – “Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam perancangan membangunkan pangkalan data leksikal, termasuklah data leksikal bahasa sukuan. Bahasa di Sarawak sangat kaya dengan bahasa etnik yang boleh menyumbang kepada pemerkayaan kosa kata bahasa Melayu”.
Demikian inti pati perkongsian ilmu oleh YBrs. Dr. Rusmadi bin Baharudin, iaitu Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP ketika menjawab soalan dalam sesi bersama-sama penjawat awam berkenaan isu capaian dan ketidakcukupan data bahasa Melayu dalam aplikasi digital.
Beliau juga turut berkongsi ilmu berkaitan dengan pembudayaan dan pemasyarakatan Kamus Dewan Perdana (KDP) di Sarawak sewaktu diundang dalam program Pembudayaan dan Pemasyarakatan Kamus Dewan Perdana (KDP) yang diadakan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Batu Lintang, Kuching, Sarawak semalam.
Berbicara mengenai kamus dan masyarakat, Encik Abdul Ghani bin Abu, iaitu Ketua Bahagian Perkamusan, DBP pula menambah;
“Kamus bahasa sukuan amat penting bagi melestarikan keampuhan bahasa Melayu kerana bahasa sukuan ini akan pupus jika tiada usaha dan inisiatif untuk merakamkannya dalam kamus dan menjadi rujukan masyarakat penggunanya.”
Program dengan kerjasama IPGM Kampus Batu Lintang yang bertemakan “Memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi: Memperkukuh Kefahaman, Kelestarian Peradaban dan Keyakinan Diri Pengguna Bahasa Melayu” ini bertujuan mendidik dan membiasakan penggunaan KDP sebagai rujukan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat, sama ada dalam pembelajaran dan pengajaran, kerjaya dan urusan yang lain.
Program ini diharapkan dapat menyantuni masyarakat dan memberikan kefahaman tentang kepentingan dan penggunaan kamus yang betul serta dapat menggali dan berkongsi lebih banyak khazanah kata bahasa Melayu yang menjadi lambang identiti dan jati diri bangsa serta negara.
Yang turut hadir memeriahkan program ini ialah sebanyak 50 orang penjawat awam yang terdiri daripada pegawai dari Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, guru dari 25 buah sekolah sekitar Kuching, para pensyarah dan sebanyak 250 orang pelajar daripada Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Bahasa Melayu, IPGM Kampus Batu Lintang.