Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Tanggungjawab mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mengangkatnya sebagai bahasa ilmu bukanlah terletak di bahu kementerian atau institusi pendidikan semata-mata, tetapi juga merupakan amanah yang harus dipikul oleh seluruh rakyat Malaysia.
Demikian menurut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan beliau bersempena dengan Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2024 yang berlangsung di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Beliau turut menyatakan bahawa KPT telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memartabatkan bahasa Melayu, termasuk Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023–2030. Inisiatif ini menunjukkan komitmen berterusan untuk memastikan bahasa Melayu terus dijadikan bahasa ilmu di universiti-universiti awam.

Menteri Pendidikan Tinggi juga mengingatkan tentang kepentingan penguasaan bahasa dalam membentuk kepintaran manusiawi, yang mempengaruhi kebolehan mengartikulasikan idea.
Beliau turut mengkritik budaya mengagung-agungkan bahasa lain sehingga mengabaikan bahasa sendiri serta menyeru agar martabat bahasa Melayu dipertahankan dan diangkat.
Penguasaan bahasa kolonial sering dijadikan ukuran status sosial, dan mengingatkan bahawa bahasa adalah medium perpaduan yang mengukuhkan ikatan sesama rakyat Malaysia, serta menyemai jiwa patriotik.
Dalam masa yang sama, beliau menekankan bahawa kementerian tidak akan meminggirkan bahasa lain, malah turut menyokong usaha untuk mempraktikkan bahasa tersebut.
Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) yang dianjurkan oleh Kementerian sejak tahun 2012, bertujuan untuk mengiktiraf ahli akademik yang telah menunjukkan dampak penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Anugerah ini juga menjadi pemangkin semangat kepada ahli akademik untuk terus menghasilkan lebih banyak penulisan dan hasil terbitan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu.
Sehingga tahun ini, secara kumulatifnya sebanyak 10 ahli akademik telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu. Para tokoh ini berasal daripada pelbagai latar belakang bidang kepakaran, termasuklah linguistik, kejuruteraan, perubatan, pendidikan awal kanak-kanak, kesusasteraan, ekonomi, dan aeronautik.
Pada tahun 2020, kementerian memperkenalkan dua anugerah baharu, iaitu Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal. Inisiatif ini bertujuan untuk memperluas lagi usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan ahli akademik muda serta sektor teknikal.
Untuk tahun 2024, kementerian turut mewujudkan Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi yang dianugerahkan kepada dua penerima yang layak. YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry turut memaklumkan bahawa terdapat persaingan sengit antara 39 permohonan yang diterima bagi ketiga-tiga anugerah yang dipertandingkan dan permohonan tersebut dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu.
Majlis ini merupakan hasil kerjasama antara Bahagian Perancangan Strategik KPT dengan Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (ATMA, UKM) dan Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).