3 Oktober 2024, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Semua pensyarah teknikal, sama ada dalam pendidikan khas atau arus perdana diseru agar dapat mempelbagaikan kaedah penggunaan bahasa Melayu dalam semua bidang teknikal. Demikian menurut Puan Siti Suhaila Samian dari Politeknik Ibrahim Sultan. Penggunaan bahasa ini tidak seharusnya terhad kepada sesi pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga meliputi seluruh industri.

Puan Siti Suhaila Samian, penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal, menyeru semua pensyarah untuk mempelbagaikan penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan khas dan arus perdana.

Beliau merupakan pensyarah yang berpengalaman mengajar beberapa subjek dalam bidang pendidikan khas termasuklah program Fesyen dan Perkhidmatan Katering Hotel ini telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal.

Menurut beliau,

Program-program yang saya ajar ini menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, dari aspek pembinaan modul pembelajaran hingga sesi pengajaran dan pembelajaran, serta simulasi di tempat kerja. Semua aktiviti dijalankan dalam bahasa kebangsaan untuk memudahkan pelajar pekak berkomunikasi.

Selain menggunakan bahasa isyarat, segala maklumat yang disampaikan kepada pelajar adalah dalam bahasa Melayu yang mudah difahami. Hal ini penting kerana golongan ini sering mengalami kesukaran untuk memahami maklumat atau arahan dengan pantas jika bahasa yang digunakan terlalu sukar.

Bahan pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar pendidikan khas sebenarnya sama sahaja seperti yang digunakan untuk pelajar arus perdana. Cuma, penggunaan laras bahasa Melayu yang lebih mudah, pelaksanaan lebih banyak aktiviti di dalam kelas, serta penggunaan alat bantu mengajar dan simulasi lakonan di tempat kerja perlu diberikan perhatian.

Dalam simulasi di dapur, pelajar akan diajar untuk mengikut arahan dalam resipi yang perlu ditulis dalam bahasa Melayu atau diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Sekiranya resipi asal dalam bahasa Inggeris, hal tersebut hendaklah diterangkan dalam bahasa Melayu yang mudah.

Tidak dapat tidak, penerangan mesti dilakukan dalam bahasa Melayu yang mudah, dan tunjuk cara harus melibatkan pergerakan badan jika penyelia dapur tidak dapat menggunakan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).

Bidang ini perlu dikembangkan lagi kerana terdapat permintaan daripada pelajar dengan pendengaran khas, iaitu mereka memerlukan individu yang dapat mendengar dan bertutur serta fasih dalam BIM untuk berkomunikasi dengan mereka. Hal ini kerana tidak ramai yang dapat berkomunikasi secara langsung dalam bahasa Inggeris, sama ada secara bertulis atau menggunakan bahasa isyarat seperti British Sign Language atau American Sign Language.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganjurkan Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 bertempat di Dewan Za’ba, KPT dan secara rasminya mengumumkan penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2024 pada hari ini.

Tahun ini merupakan tahun ke-13 majlis berprestij seumpama ini dianjurkan oleh KPT bagi mengiktiraf pencapaian ahli-ahli akademik yang telah memperlihatkan dampak penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). Setakat ini, secara kumulatifnya sebanyak 11 orang ahli akademik IPTA dari pelbagai bidang kepakaran telah dinobatkan sebagai penerima Tokoh Akademik Bahasa Melayu.

ATABM pada tahun ini adalah milik YBrs. Profesor Madya Dr. Indirawati @ Indrawati Zahid, seorang Pensyarah Kanan Bahasa Melayu (Semantik Leksikal, Fonetik dan Fonologi, Pragmatik) dari Universiti Malaya (UM). Kemenangan beliau adalah bertepatan dengan karisma dan kesarjanaan beliau dalam arena tempatan mahupun antarabangsa.

 

YBrs. Profesor Madya Dr. Indirawati @ Indrawati Zahid penerima ATABM 2024.

Dalam usaha menggalakkan pelibatan ahli akademik untuk memartabatkan bahasa Melayu, KPT turut memberikan ruang dan peluang pengiktirafan kepada pensyarah-pensyarah muda Universiti Awam (UA). Peluang ini tidak hanya terhad kepada UA, tetapi turut diperluas kepada pensyarah di Politeknik dan Kolej Komuniti melalui pemberian Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu dan Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal.

Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu pada tahun ini dimenangi oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Rozita Radhiah Said dari Universiti Putra Malaysia (UPM) manakala Puan Siti Suhaila Samian dari Politeknik Ibrahim Sultan pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal.

Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu pada tahun ini dimenangi oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Rozita Radhiah Said.

Buat julung-julung kalinya pada tahun ini, KPT telah mewujudkan Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi sebagai simbol pemerkasaan bahasa Melayu dan usaha yang berterusan dalam mengangkat bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi.

Pemenang Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Profesor Dr. Novel Anak Lyndon.
Pemenang Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi, YBrs. Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong.

Dua penerima sulung anugerah ini ialah YBhg. Profesor Dr. Novel Anak Lyndon dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan YBrs. Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.