Diterbitkan pada 3 Oktober 2024, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penekanan terhadap penggunaan bahasa yang berkesan dalam penyampaian maklumat berkaitan dengan keterjaminan makanan adalah sangat penting.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), pemakaian bahasa yang berkesan seperti gaya retorik dalam meningkatkan kesedaran tentang keterjaminan makanan adalah penting.

Tokoh dan pakar bahasa Melayu, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Abdul Karim berkata, gaya retorik merujuk seni penggunaan bahasa yang melibatkan penyampaian idea ataupun maklumat yang menarik serta berkesan, sama ada dalam bentuk tulisan ataupun lisan untuk memujuk, mempengaruhi dan meyakinkan pembaca mengenai sesuatu maklumat yang disalurkan.

Menurut beliau,

Penggunaan bahasa retorik dapat memberikan kesan kepada masyarakat secara komprehensif dan membuktikan bahawa kekuatan bahasa berupaya mempengaruhi perilaku dan tindakan manusia apabila menerima sesuatu input rangsangan daripada sekeliling.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, YBrs. Profesor Dr. Vijayaletchumy a/p Subramaniam berkata, bahasa yang tersusun dan berkesan akan mempengaruhi tindakan serta cara pemikiran manusia.

Ujar beliau,

Pada kebiasaannya, bahasa dikaitkan dengan kejiwaan, maka penyusunan bahasa yang baik akan memberikan kesan rangsangan terhadap tindak balas manusia, sama ada dari aspek pemikiran ataupun tindakan.

Tambah beliau, sekiranya bahasa yang digunakan gagal diolah dengan baik, maka refleksi terhadap bahan rangsangan yang diterima akan terserlah melalui tindakan manusia.

Ulasnya lagi, apabila seseorang individu mendapat saluran maklumat secara verbal diikuti dengan penggunaan bahasa yang berkesan, maka tindak balas pelaksanaan terhadap maklumat yang diterima akan lebih baik.

Menurutnya lagi,

Apabila seseorang menggunakan ujaran dalam penyampaian, pemahaman akan dapat dipertingkat kerana disokong oleh aspek luaran serta dalaman sesuatu bahasa, misalnya sokongan daripada gerakan isyarat seperti ekspresi wajah, intonasi pita suara dan sebagainya.

Beliau juga menyatakan bahawa bahasa yang jelas dan padat serta berprestij jika ditelusuri dan digunakan dengan tepat akan menjadi landasan bagi meningkatkan pemahaman manusia.

Jelasnya,

Kita tidak menafikan bahawa bahasa sememangnya dikaitkan dengan neurolinguistik, iaitu hubungan antara bahasa dengan otak manusia yang dikategorikan dalam bidang psikolinguistik, yakni bahasa mempengaruhi tindakan dan akal budi manusia.

Dalam hal ini, penggunaan bahasa yang tepat dan berkesan dalam menyampaikan sesuatu maklumat, misalnya pengenalan kepada keterjaminan makanan jika diketengahkan menggunakan bahasa yang berkesan berkemungkinan dapat mengubah cara manusia beradaptasi dan menerimanya sebagai suatu perubahan.

Katanya,

Pendedahan sahaja tidak mencukupi sekiranya pemahaman manusia terhadap isu yang diketengahkan tidak mencapai tahap yang sewajarnya kerana tindakan ini tidak akan membantu dalam mencapai sasaran konsep keterjaminan makanan tersebut.

Dalam kenyataan yang sama juga, Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, FBMK, UPM, Puan Ernawati Atan berpandangan bahawa kelas sosial masyarakat turut mempengaruhi saluran pemahaman maklumat, khususnya dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata,

Kita tidak dapat menafikan bahawa masyarakat terdiri daripada pelbagai lapisan sosial yang berbeza dengan latar belakang pendidikan dan keluarga yang berlainan, maka wajarlah sekiranya tanggapan mereka terhadap sesuatu maklumat itu diserap mengikut kefahaman yang berbeza kerana wujud silang budaya dalam proses komunikasi tersebut.

Kongsinya, penggunaan bahasa dalam penyampaian maklumat mungkin akan lebih berkembang ataupun lebih canggih berikutan mengalami peraliran evolusi daripada peredaran dari semasa ke semasa, sekali gus menyukarkan pemahaman bagi masyarakat kelas ketiga, khususnya yang kurang celik terhadap penggunaan bahasa yang moden.

Susulan hal ini, pihak yang terlibat seharusnya cakna terhadap sasaran dalam menentukan pemakaian bahasa yang berkesan.

Beliau juga menyatakan bahawa penentuan pemilihan bahasa yang berkesan serta tepat adalah penting untuk mewujudkan kesebatian dalam jiwa kalangan pembaca serta membolehkan proses manipulasi tindakan berdasarkan matlamat yang disasarkan oleh sesebuah organisasi.

Tegasnya,

Penggunaan bahasa perlulah disesuaikan mengikut jenis sasaran, sama ada dalam bentuk lisan ataupun tulisan yang melibatkan kebijaksanaan dalam pemakaian bahasa yang berkesan untuk mencapai sasaran dalam proses menambah ilmu pengetahuan, mengubah pola pemikiran serta tindak balas manusia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi