Diterbitkan pada 6 Oktober 2024, 11:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Teknologi moden merupakan satu kaedah untuk mendekatkan bahasa, sastera dan budaya melalui terbitan digital dan elektronik dalam pelbagai aplikasi yang boleh dicapai oleh masyarakat dan seluruh dunia.

“Dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), penggunaan media elektronik dan teknologi moden dilihat sangat berkesan dalam membudayakan ilmu termasuklah menimbulkan kecintaan kepada bahasa,” demikian menurut Ahli Dewan Negara, YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang berkongsi pandangan dalam Forum “Sayangi Bahasa Sayangi Negara” yang diadakan di Pusat Konvensyen Ipoh, Perak pagi tadi.

Tambah beliau, dalam kalangan sesetengah masyarakat kita, kecintaan kepada bahasa itu ibarat “cinta palsu” kerana bahasa itu tidak benar-benar dihormati dan disanjungi sepertimana yang berlaku di kebanyakan negara di dunia.

Negara China, misalnya mempunyai 56 buah etnik tetapi disatukan oleh satu sistem pendidikan yang berteraskan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Mandarin. Hal ini diikuti dengan Thailand dan Indonesia yang turut membangun berteraskan bahasa kebangsaan mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Malaysia, iaitu pemilik kad pengenalan (MyKad) dan pengenalan diri kanak-kanak (MyKid) bertanggungjawab untuk memuliakan bahasa kebangsaan.

Ahli panel dan moderator Forum Sayangi Bahasa Sayangi Negara sempena Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Ipoh, Perak.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Ramalinggam a/l Rajamanickam dalam forum yang sama menyatakan bahawa perkembangan bahasa boleh berlaku dalam aspek yang lebih mudah, cepat dan berkesan sekiranya bahasa itu digunakan secara betul, tepat dan sesuai dengan konteks penggunaannya.

Apabila bahasa itu digunakan dalam media sosial, bahasa itu tidak boleh dianggap sebagai bahasa rasmi yang boleh digunakan dalam bentuk penulisan.

Dalam menongkah arus globalisasi dan teknologi, penulisan di media sosial hendaklah dibuat secara berhemah dan beretika supaya tidak menjejaskan aspek kelangsungan dan kemandirian bahasa.

Tambah beliau lagi, cinta akan bahasa boleh dibuat melalui “cinta paksa” dengan menguatkuasakan peruntukan undang-undang dan menerapkan jati diri bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, dalam forum tersebut, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong berkata, era kecerdasan buatan (AI) dan teknologi haruslah dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk kemajuan diri dan memperkenalkan bahasa kepada dunia luar.

Ujar beliau, dalam konteks Malaysia yang meraikan kepelbagaian bahasa, kepercayaan dan budaya bukanlah alasan terlunturnya kecintaan kepada negara.

Sekiranya kita mengatakan bahawa kita mencintai negara, kita mestilah mencintai semua perkara yang bersifat kebangsaan, termasuklah bahasa kebangsaan.

Forum yang diadakan bersempena dengan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2024 Peringkat Kebangsaan ini dikemudikan oleh Encik Ahmad Fedtri Yahya selaku moderator.

Forum ini dianjurkan untuk memaklumi masyarakat tentang peranan penting bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu sebagai simbol identiti dan maruah negara.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi