Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIpoh – Personaliti unggul, Encik Roslan Madun, Encik Ahmad Fedtri Yahya dan Encik Hazwan Haziq Rosebi dinobatkan sebagai Ikon Bahasa, manakala YBhg. Profesor Dr. Shamsul Bahri Abd Razak dan Dr. Norfishah Mat Rabi menerima Hadiah Karya Ilmiah (HKI) 2021/2022 dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh, pagi tadi.
Penyampaian kedua-dua pengiktirafan tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Ikon Bahasa merupakan pengiktirafan yang diberikan kepada individu pelbagai bidang yang telah menunjukkan rasa cinta, semangat dan ketekalan yang berterusan dalam usaha memartabatkan dan menggunakan bahasa Melayu.
Ketiga-tiga ikon tersebut menerima sumbangan penghargaan berupa wang tunai sebanyak RM1000 berserta sijil penghargaan.
HKI 2021/2022 pula merupakan penghargaan yang diberikan kepada penulis buku ilmiah bidang Sains dan Teknologi dan bidang Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu.
Pada tahun ini, panel penilai telah memutuskan sebanyak seorang pemenang bagi setiap kategori tersebut.
YBhg. Profesor Dr. Shamsul Bahri dari Universiti Malaysia Terengganu memenangi HKI 2021/2022 bagi kategori Sains dan Teknologi menerusi penulisannya, Kelulotologi: Merungkai Misteri Kelulut, Alam dan Kehidupan Manusia.
Sementara itu, Dr. Norfishah dari Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris menerima anugerah yang sama bagi kategori karya bidang Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan melalui buku Rawatan Alternatif untuk Kanak-kanak Autistik.
Pemenang bagi setiap kategori HKI 2021/2022 menerima hadiah penghargaan berupa wang tunai sebanyak RM10,000 berserta sijil penghargaan.