10 Oktober 2024, 08:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Saarani Mohamad, semalam mengumumkan pelancaran tiga buah buku dalam Siri Penerbitan Perak Sejahtera 2030, sebuah inisiatif penting yang menumpukan pembangunan mampan dan berimpak tinggi di negeri tersebut. 

Buku-buku yang dilancarkan termasuklah Potensi dan Laluan Kerjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Celik Tulis: Santuni Murid Orang Asli, dan Sisa Menjadi Sumber: Strategi Ekonomi Kitaran.

“Pelancaran buku-buku ini ialah hasil penyelidikan mendalam dan akan menjadi sumber penting dalam memastikan pembangunan yang lebih tersusun.”

“Negeri Perak bukan sahaja memberikan fokus terhadap pembangunan fizikal, tetapi juga pembangunan intelektual. Buku-buku ini akan menjadi rujukan utama dalam merangka dasar yang inklusif dan mampan untuk kesejahteraan negeri.”

Demikian antara petikan kata-kata beliau semasa menyampaikan ucap utama dalam Majlis Penutup Perak Sejahtera 2030 di Pusat Konvensyen Casuarina, Perak.

Pada majlis yang sama, turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Darul Ridzuan (IDR) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kerjasama ini bertujuan memperkukuh penerbitan ilmiah serta memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negeri Perak.

Dalam satu lagi MoU yang akan dimeterai pada malam ini, IDR dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan bekerjasama dalam memperkukuh agenda Koridor TVET Malaysia. Menurut YAB Dato’ Saarani, kedua-dua pihak sedang membangunkan sebuah papan pemuka (dashboard) yang menyediakan statistik tenaga buruh dan analisis komprehensif mengenai pelaksanaan program TVET.

Dashboard ini akan memberikan gambaran jelas kepada pembuat dasar mengenai peluang dan cabaran dalam pelaksanaan program TVET, sekali gus membantu negeri Perak dalam memacu pembangunan ekonomi dan sosial yang lebih berdaya saing,” tambah beliau.

Majlis tersebut menandakan komitmen kerajaan negeri Perak dalam memastikan pembangunan yang seimbang dari segi fizikal, intelektual dan sosial.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif IDR, YBrs. Dr. Maisarah Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.