Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSkudai–Seiring dengan perkembangan leksikografi, Kamus Dewan Perdana (KDP) telah membawa pelbagai inovasi sehingga melayakkan kamus ini diangkat sebagai khazanah unggul negara. Kamus ini umpama sumur kata yang menyajikan pelbagai maklumat bermanfaat kepada masyarakat pengguna.
Sehubungan dengan itu, usaha untuk meningkatkan penggunaan kamus dalam setiap lapisan masyarakat terus diperhebat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi beberapa siri jelajah “Bersahabat dengan Kamus” yang dilaksanakan oleh Bahagian Perkamusan, DBP. Program pada kali ini melebarkan sayapnya ke selatan tanah air dan berlokasi di SJK(C) Thai Hong, Taman Impian Emas, Skudai, Johor pada 10 Oktober 2024 dengan dihadiri oleh sebanyak 37 orang penjawat awam dan 50 orang guru serta 200 orang murid dari sekolah di seluruh negeri Johor.
Program yang bertemakan “Pembudayaan dan Pemasyarakatan Kamus Dewan Perdana (KDP)” ini telah berjaya membuka mata masyarakat dan murid agar sentiasa menitikberatkan penggunaan bahasa yang bermutu. Sesi perkongsian ini dikendalikan oleh Tuan Syed Mohd Yasir Syed Ahmad yang juga merupakan pegawai dari Bahagian Perkamusan, DBP. Sesi ini dimeriahkan lagi dengan aktiviti “Roda Kata”, iaitu program permainan bahasa untuk menguji kemahiran peserta menggunakan kamus.
Menurut Encik Abdul Ghani Abu, iaitu Ketua Bahagian Perkamusan, DBP kerancuan bahasa yang berlaku seperti yang dapat dilihat pada papan tanda, iklan dan media sosial perlu diperbetul.
Dalam menangani isu penciptaan kata baharu dalam kalangan generasi muda pada zaman ini, kaedah pembentukan kata dan istilah perlu mengambil kira aspek morfologi dan konsep serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam Pedoman Umum Pembentukan Istilah.
Tambah Puan Zuraini Yeop Ahmad, iaitu Perancang Bahasa dari Bahagian Perkamusan DBP pula kepentingan kamus dalam mengatasi pelbagai isu bahasa ini tidak dinafikan. DBP giat menerbitkan pelbagai jenis kamus namun begitu, terdapat pengguna yang kecewa apabila kamus yang dirujuknya tidak memenuhi kehendaknya.
Adalah penting kefahaman pengguna terhadap jenis-jenis kamus yang dihasilkan, yang setiap satunya mempunyai fungsi tertentu dan pengguna sasaran yang telah dikenal pasti. Adalah tidak mungkin untuk menghasilkan sebuah kamus yang dapat memenuhi keperluan setiap pengguna yang berbeza latar belakang dan pengetahuan bahasanya.

Selain guru dan penjawat awam, sesi perkongsian ilmu perkamusan ini turut disasarkan kepada murid-murid bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran mereka akan kepentingan kamus dalam proses pembelajaran.
Yang turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Tuan Haji Yahya Mohamed, Pengarah DBP Wilayah Selatan, DBP, Tuan Haji Mohd Riduwan Wahab, pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Johor, karyawan dari DBP Wilayah Selatan dan guru-guru dari SJK(C) Thai Hong.



