11 Oktober 2024, 22:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Muar – Kepentingan kebudayaan tidak dapat dipisahkan daripada pendidikan dalam pembinaan tamadun sebuah negara. Menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari, kekayaan sebuah tamadun tidak hanya terletak pada aspek seni dan tradisi, tetapi juga dalam pemikiran yang diwujudkan melalui karya-karya sastera.

“Budaya yang kita banggakan ialah cerminan pemikiran dan nilai masyarakat,” jelas beliau.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan tamadun yang mantap bergantung kepada integrasi yang seimbang antara pendidikan yang memperkukuh nilai-nilai kebangsaan dengan kebudayaan yang memelihara warisan intelektual bangsa. Tambah beliau:

Sastera bukan sekadar hiburan atau keindahan, tetapi inti kearifan yang membentuk masyarakat yang beradab dan bertamadun.

YBrs. Dr. Hazami turut menggariskan bahawa peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia, khususnya melalui Inisiatif Belanjawan baru-baru ini menunjukkan komitmen yang jitu terhadap pembangunan sastera dan bahasa kebangsaan.

“Dengan sumbangan RM20 juta tahun lalu dan RM10 juta pada tahun ini untuk pembangunan bahasa dan sastera membuktikan kesedaran pucuk pimpinan kita terhadap peranan penting kebudayaan dalam memperkukuh identiti kebangsaan dan mengasah pemikiran kritis anak tempatan,” kata beliau.

YBrs. Dr. Hazami juga menekankan bahawa sasterawan dan pemikir tempatan memainkan peranan penting dalam memupuk nilai-nilai kebangsaan serta mendorong pemikiran progresif melalui karya-karya mereka.

“Sastera, misalnya, perlu dilihat dari sudut inti pati yang terkandung dalam karya-karyanya. Pemikiran yang terkandung dalam karya sastera inilah yang akhirnya akan melahirkan masyarakat yang bertamadun, bertimbang rasa dan penuh dengan ihsan.”

Dengan itu, pendekatan holistik yang menyatukan pendidikan dan kebudayaan dianggap penting dalam menjamin kemampanan dan kesejahteraan sebuah masyarakat yang bertamadun dan beretika.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.