Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMuar – Pemartabatan bahasa Melayu dengan melihat dari sudut persuratan ilmu dan persuratan kreatif perlu dipenuhi supaya dapat menampung keperluan ilmu yang dicari.
Demikian penegasan Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan semasa mendahului pembukaan Sesi I Forum “Pemartabatan Bahasa Melayu pada Era Malaysia Madani” sempena Konvensyen Bahasa dan Persuratan MADANI 2024 di Hotel Classic, Muar, Johor pagi tadi.
Ujar YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan, teras MADANI ialah ilmu yang bersepadu sifatnya, oleh itu terdapat keperluan untuk membentuk sebuah gagasan supaya bahasa Melayu dapat dijadikan sebagai bahasa ilmu.
Ilmu yang dituangkan dalam bentuk penulisan adalah berbentuk abadi yang akan menentukan nasib persuratan Melayu; nilai bahasa ilmu itu yang menentukan nasib persuratan bahasa Melayu.

YB Senator menegaskan bahawa keperluan untuk ilmu tanzil (the revealed knowledge) dan ilmu yang dicari (the acquired knowledge) yang memaparkan sisi ketamadunan Islam masih perlu digarap dengan banyak lagi dengan memperbanyak wacana tentang ilmu-ilmu tentang ketamadunan Islam, di samping menyeimbangkan antara ilmu ukhrawi dengan duniawi.
Karya-karya klasik dalam bahasa Melayu juga harus diangkat dan diubah suai dari sudut keperluan mengikut zaman dalam membina sistem dan memberikan tumpuan pada teras pembinaan Malaysia MADANI, termasuklah dengan mengumpulkan sarjana dan memanfaatkan kepakaran mereka secara terancang.
Menyusuli perbahasan tersebut, Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, YBhg. Tan Sri Datuk Wira Prof. Dr. Abdul Latif Abu Bakar pula menegaskan bahawa cabaran dalam mewarisi peradaban Melayu memerlukan perubahan sikap ke arah pemikiran yang positif dan berdaya maju.

Menurut Tan Sri Datuk Wira Prof. Dr. Abdul Latif, hak penguatkuasaan perlu diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memperkasa bahasa Melayu, di samping gabungan sinergi pejuang bahasa termasuklah peranan persatuan penulis dan media.
YBhg. Tan Sri Datuk Wira Prof. Dr. Abdul Latif Abu Bakar menyeru persatuan agar lebih agresif dan berdamping dengan ilmuwan dan budayawan serta tidak harus tunduk dengan sebarang tentangan.
Sementara itu, Naib Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Encik Mohd. Shahren Abdullah membincangkan tentang pencarian erti pemerkasaan bahasa Melayu melalui defisit sosial dan pengukuhan perpaduan.
Dari aspek pengukuhan perpaduan, kita mempunyai pelbagai agensi, namun adakah kita mencari satu objektif yang sama dalam memartabatkan bahasa Melayu?
Gemblengan tenaga itu tidak dimanfaatkan dari pelbagai sudut dengan cara mutlak dan muktamad.

Ujar Encik Mohd. Shahren, defisit sosial dalam soal ini bukan hanya terhad kepada defisit etnik, namun pentingnya kesepaduan dan peranan setiap individu demi melonjakkan bahasa Melayu ke peringkat sewajarnya.
Sesi I forum ini dikendalikan oleh Prof. Dr. Ida Idayu, Ahli Lembaga Teknologi Malaysia Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai moderator.