13 Oktober 2024, 23:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Muar – Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa komunikasi, tetapi juga lambang identiti dan kedaulatan negara. Demikian yang dinyatakan oleh Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Encik Amiruddin Md. Ali Hanafiah, dalam ucapan beliau sebelum membacakan lapan resolusi yang dicapai selepas Konvensyen Bahasa dan Persuratan Madani 2024.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha berterusan perlu dilakukan untuk memelihara dan memperkukuh kedudukan bahasa Melayu dalam pelbagai sektor. Menurutnya, bahasa kebangsaan ini bukan sahaja mencerminkan sejarah dan budaya negara, tetapi juga memainkan peranan yang penting dalam mengukuhkan perpaduan nasional serta memartabatkan kedaulatan Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Konvensyen Bahasa dan Persuratan MADANI yang berlangsung selama dua hari di Hotel Classic, Muar, Johor, telah dihadiri oleh 210 peserta dari seluruh negara serta 21 wakil Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (BBK). Konvensyen ini bertujuan memperkukuh kedudukan bahasa Melayu dan memartabatkan sastera kebangsaan, serta menampilkan seorang pengucap utama dan 10 pemakalah daripada pelbagai wakil BBK.

Sepanjang konvensyen yang berlangsung pada 11 dan 12 Oktober 2024 ini, pelbagai isu dan cabaran berkaitan dengan bahasa serta kesusasteraan Melayu telah dibincangkan, bagi merangka langkah-langkah strategik dalam memperkasa bahasa kebangsaan pada semua peringkat.

Hasil perbincangan tersebut, konvensyen ini telah menghasilkan beberapa resolusi penting yang menumpukan terhadap usaha memperkasakan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan dan pentadbiran negara.

“Antaranya (resolusi) termasuklah sokongan terhadap cadangan YAB Perdana Menteri Malaysia dalam ucapan beliau semasa Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan pada 6 Oktober 2024 di Ipoh, di mana konvensyen meminta agar cadangan tersebut dilaksanakan pada peringkat sekolah bagi memastikan bahasa Melayu dan Perlembagaan terus didaulatkan,” ujar Encik Amirudin.

Ketua Satu PPJ, Encik Amiruddin Md. Ali Hanafiah menyerahkan Resolusi Konvensyen Bahasa dan Persuratan MADANI 2024 kepada YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan.

Selain itu, resolusi yang turut dicadangkan ialah pemantapan kurikulum kesusasteraan di sekolah dan institusi pengajian tinggi, dengan institusi pengajian tinggi dicadangkan menjadikan sastera sebagai kursus elektif bagi semua bidang pengajian.

Resolusi lain yang disarankan termasuklah mewajibkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah, mengembalikan peperiksaan pada peringkat sekolah rendah, serta menjelaskan konsep Prinsip Rukun Negara kepada murid sekolah. 

Konvensyen juga menolak program dwibahasa seperti Dual Lingual Program (DLP) yang dilihat mengutamakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan, selain meminta kerajaan menegaskan penggunaan bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia. 

Resolusi turut menuntut kerajaan memberikan nilai ekonomi terhadap subjek Bahasa Melayu dan Sastera Melayu dalam sistem pendidikan. 

“Kesemua resolusi ini bertujuan untuk memastikan bahasa Melayu kekal sebagai lambang identiti dan kedaulatan negara yang perlu dipelihara dan diperkasakan,” tegas beliau mengakhiri majlis penutup.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.