Diterbitkan pada 13 Oktober 2024, 22:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sandakan – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Politeknik Sandakan, Sabah, telah menjayakan program Pembudayaan dan Pemasyarakatan Kamus Dewan Perdana (KDP) yang bertujuan untuk mengukuhkan kelestarian peradaban melalui penggunaan bahasa Melayu yang lebih formal dan berkualiti.

Program ini juga diadakan bertujuan untuk mengukuhkan keyakinan dan jati diri pengguna bahasa Melayu serta meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan penggunaan kamus.

Sehubungan dengan itu, program yang telah berlangsung di Politeknik Sandakan Sabah pada 10 Oktober 2024 turut dihadiri oleh kira-kira 200 orang peserta yang terdiri daripada penjawat awam, pensyarah, guru serta pelajar.

Para peserta diberikan panduan praktikal tentang cara menggunakan kamus sebagai rujukan penting dan pendedahan terhadap Pusat Rujukan dan Persuratan Melayu (PRPM) sebagai sumber penting dalam penguasaan bahasa Melayu.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin.

Sesi perkongsian ilmu yang dikendalikan oleh Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin yang memberikan penerangan tentang kamus terbitan DBP dan maklumat yang terkandung dalam kamus seperti kelas kata, label bidang, dialek, takrif dan etimologi.

Menurut beliau, kamus ialah sumur maklumat bagi maklumat kata sesuatu bahasa. Sebagai sumber takungan maklumat, kamuslah wahana penampungan usaha kodifikasi bahasa yang menjadi bahagian penting dan pembinaan, pengembangan dan pembakuan bahasa.

Dalam pada itu, sesi ini turut melibatkan perkongsian ilmu kepenggunaan kamus oleh Pegawai Kanan Bahagian Perkamusan, Puan Mardhiah Othman. Beliau telah berkongsi ilmu tentang hubungan perkamusan dengan perkembangan kosa kata dan intelektual pengguna serta kaedah yang betul untuk menggunakan kamus.

Pegawai Kanan Bahagian Perkamusan, Puan Mardhiah Othman ketika sesi perkongsian ilmu tentang perkamusan.

Pelbagai aktiviti interaktif telah diatur untuk memberikan pendedahan kepada pelajar lebih-lebih lagi tentang kamus serta peranannya dalam pembudayaan bahasa Melayu.

Program ini merupakan inisiatif penting yang berpotensi dapat meningkatkan kesedaran dan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi