Diterbitkan pada 13 Oktober 2024, 23:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bukit Mertajam, Kedah muncul sebagai juara dalam Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan pada tahun 2024 dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.00, piala pusingan, piala iringan dan sijil.

Pasukan dari SJKT Ladang Bukit Mertajam merupakan juara dalam Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan.

Sementara itu, SJKT Nilai, Negeri Sembilan berjaya meraih tempat kedua dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000.00, piala iringan dan sijil manakala tempat ketiga disandang oleh SJKT Batu Caves, Selangor dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.00, piala iringan dan sijil.

Pasukan dari SJKT Nilai, Negeri Sembilan merupakan naib juara dalam Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah pertandingan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat (YB) Senator Puan Saraswathy Kandasami di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.

Pasukan dari SJKT Batu Caves, Selangor memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan.

YB Senator Puan Saraswathy Kandasami berkata,

Pertandingan ini bertujuan untuk menyemarakkan minat terhadap teater dalam kalangan kanak-kanak SJKT di seluruh Malaysia di samping memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa pertandingan ini merupakan medan penting bagi murid SJKT untuk mengasah bakat dan melahirkan kecintaan terhadap seni lakonan.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Senator Puan Saraswathy Kandasami ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

Justeru, pementasan teater tersebut dapat membantu murid mempertajam dan memperkemas penggunaan bahasa kebangsaan mereka.

Di samping itu, beliau turut menjelaskan bahawa pengembangan bahasa kebangsaan dalam pelbagai wahana dapat memperluas pemahaman bahasa kepada kaum bukan Melayu.

Ujar beliau lagi,

Untuk meningkatkan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, komunikasi, dan perpaduan, kita perlu memastikan semua kaum melibatkan diri dalam apa-apa jua aktiviti berkaitan dengan bahasa kebangsaan.

Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan 2024 merupakan anjuran Persatuan Seni Pentas India Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka.

Program ini telah dibiayai oleh Geran Sokongan Sektor Kebudayaan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail dan Pengerusi Persatuan Seni Pentas India Kuala Lumpur, YBrs. Encik Tanabalan Sinniah. 

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi