Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Haji Awang Sariyan mengalu-alukan peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri tempoh hari, khususnya untuk pembangunan bidang bahasa, ilmu, sastera dan seni melalui Dewan Bahasa Pustaka (DBP).
Selaku mantan Ketua Pengarah dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, beliau berpendapat bahawa peruntukan itu perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya melalui kerjasama dengan agensi lain yang berkaitan seperti Majlis Penerbit Ilmiah Malaysia, Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Yayasan Karyawan Malaysia dan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM).
Menyentuh soal belanjawan tersebut, Dr. Awang Sariyan ketika ditemui berkata, peruntukan RM50 juta untuk penerbitan karya ilmu dan persuratan negara itu merupakan suatu lonjakan untuk perhatian lebih besar dalam bidang ilmu dan persuratan negara.
Menurutnya,
Selain menyelaraskan projek dengan badan lain, Dana Penggerak Industri Buku Negara (DPIBN) yang diamanahkan oleh kerajaaan kepada DBP untuk membantu penerbit kecil perlu ditingkatkan jumlahnya dan diluaskan sasarannya.
Dengan hal demikian, bantuan dapat diberikan kepada penerbit kecil dan persatuan untuk merancakkan industri penerbitan negara.

Beliau berkata demikian sebaik selesai pembentangan kertas kerja khas yang bertajuk “Perancangan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu: Pelan Tindakan Strategik” dalam Seminar Perancangan Bahasa 2024 di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP hari ini.
Beliau juga berkata bahawa DBP perlu mempunyai perancangan strategik untuk memperkaya khazanah ilmu dan persuratan negara dalam bahasa Melayu.
“Program Penerbitan Berpakej yang pernah digerakkan oleh DBP perlu diaktifkan semula supaya karya bercetak dan digital yang meliputi semua ilmu penting bagi pembangunan negara, sama ada dalam bidang agama, ilmu kemanusiaan dan sosial mahupun ilmu sains dan teknologi dapat dihasilkan dan diterbitkan,” katanya.
Selain itu, menurut beliau, terbitan yang memenuhi minat dan keperluan pembaca sasaran khas seperti sarjana, orang awam, remaja dan kanak-kanak perlu diperbanyak dengan pendekatan yang menarik dan sesuai bagi setiap golongan.
Beliau berkata,
Saya menggesa agar ilmu dan sastera diluaskan khalayaknya kepada semua kelompok pembaca sasaran dengan pelbagai bentuk terbitan turunan yang sesuai dengan kelompok tersebut.
“Karya ilmiah atau dalam bentuk konvensional perlu disokong dengan penerbitan karya umum dan terbitan lain yang tergolong dalam industri kreatif.
Antaranya termasuklah terbitan dalam gaya jurnalistik moden, adaptasi, animasi, komik, lakon layar, teater dan bahan dalam aplikasi peranti yang ada nilai ilmu dan sastera.
Maka itu, beliau mengingatkan DBP bahawa usaha tersebut penting kerana pembangunan negara tidak cukup dengan hanya kemajuan ekonomi dan teknologi, bahkan perlu didukung oleh kekuatan ilmu dan sastera untuk membentuk masyarakat Madani, iaitu masyarakat yang berilmu, bermaklumat dan memiliki kehalusan budi.

Sementara itu, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Haji Omar melalui kertas kerjanya yang bertajuk “Asas Prinsip Perancangan Bahasa di Malaysia” memperkatakan tentang sejarah DBP yang mewujudkan jawatankuasa istilah dalam pelbagai ilmu dan profesion melalui kerjasama Indonesia dalam Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM), dan kemudian ditukar menjadi Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM).
“Sejarah negara dan bahasa Melayu serta peningkatan ilmu merupakan asas perancangan taraf dan korpus; dan prinsipnya adalah pertimbangan seimbang bagi semua rakyat dengan bahasa etnik masing-masing sesuai dengan pembangunan negara,”ujarnya.
YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Ts. Dr. Tengku Mohd Tengku Sembok pula dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Komputer, Bahasa, Kecerdasan Buatan dan Khazanah Ilmu Peribumi” berkata bahawa perancangan bahasa dalam pemerkayaan khazanah ilmu merupakan aspek penting dan abadi bagi keutuhan sesuatu tamadun.
“Tumpuan yang lebih besar dalam kertas ini diberikan kepada upaya pemerkayaan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu bagi kedua-dua kategori ilmu, iaitu ilmu tanzil atau keagamaan dan ilmu duniawi.
“Penegasan diberikan kepada kesepaduan dua kategori ilmu tersebut untuk pembinaan tamadun yang seimbang dan holistik, dan juga untuk memenuhi tuntutan keperluan semasa dan akan datang,” katanya.