Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sesi pertama Seminar Perancangan Bahasa Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini semalam secara umumnya memfokuskan tentang pemerkasaan bahasa kebangsaan melalui produk bahasa dan sikap masyarakat terhadap bahasa kebangsaan.
Sesi pembentangan ini mencerminkan usaha kolektif DBP dalam usaha mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memastikan hal tersebut kekal relevan pada era digital masa ini.
Menurut Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Pemerkasaan Produk Bahasa dan Persuratan Melayu melalui Penyelidikan dan Pendokumentasian”, produk DBP yang berkualiti dan berimpak tinggi diperkasakan melalui usaha dan hasil penyelidikan bahasa dan persuratan Melayu oleh Bahagian Penyelidikan Bahasa dan Bahagian Penyelidikan Sastera, dan disokong oleh Pusat Dokumentasi Melayu melalui pemerkayaan dan pembangunan koleksi kepustakaan Melayu.”
Tambahnya lagi, jabatan itu akan terus memainkan peranannya yang penting dan kekal relevan pada era digital ini untuk memastikan matlamat perancangan bahasa kebangsaan tercapai.
Kejayaan perancangan bahasa kebangsaan di Malaysia diupayakan melalui produk bahasa dan persuratan Melayu yang berkualiti tinggi serta teras strategik DBP seperti menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa negara dan bahasa ilmu sebagaimana yang terkandung dalam Pelan Strategik DBP.
“Perancangan bahasa penting untuk membina identiti negara sekali gus membina tamadun bangsa dan negara. Untuk meningkatkan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa negara dan bahasa ilmu, semua pihak perlu memainkan peranan. Kegiatan penyelidikan dan pendokumentasian terhadap produk bahasa dan persuratan Melayu perlu terus digiatkan demi memperkasakan produk bahasa dan persuratan Melayu,” jelas beliau.
Sementara itu, Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa DBP, YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Sikap Masyarakat Malaysia terhadap Bahasa Kebangsaan” pula menjelaskan bahawa DBP selaku agensi perancangan bahasa kebangsaan telah melaksanakan pelbagai program untuk memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Menurutnya, kajian yang dijalankan oleh DBP dari tahun 2014 hingga tahun 2024 melibatkan tinjauan terhadap tahap penggunaan, mutu serta sikap masyarakat terhadap bahasa kebangsaan.
“Data tentang sikap masyarakat ini diperoleh daripada kajian dan tinjauan yang telah dijalankan selama sepuluh tahun, meliputi kajian sikap generasi muda terhadap bahasa kebangsaan (2014), persepsi warga sektor pendidikan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan (2019), dan kajian sikap dan penguasaan bahasa di Greater KL (2021),” katanya.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa sikap masyarakat terhadap bahasa kebangsaan dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti jati diri, polisi bahasa, faktor ekonomi dan sosial serta demografi.
Generasi muda bukan penutur jati bahasa kebangsaan misalnya, mempunyai sikap yang sederhana positif terhadap bahasa kebangsaan.
Puan Yusaida Yusof yang mewakili Ketua Bahagian Penguatkuasaan DBP, Encik Rahimi Arifin pula membentangkan kertas kerja bertajuk “Audit Bahasa Melayu: Ke Arah Peningkatan Penggunaan dan Mutu Bahasa Kebangsaan”.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam sektor awam dan swasta masih belum mencapai tahap yang memuaskan.
“Keadaan ini menyebabkan keperluan pelaksanaan Audit Bahasa Melayu bagi menilai tahap penggunaan dan mutu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,” jelasnya.
Audit tersebut selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2020 dan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi.
Seterusnya, Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), YBrs. Dr. Mohamad Zakuan Tuan Ibharim melalui kertas kerjanya yang bertajuk “Terjemahan Audiovisual dan Perancangan Bahasa: Kemajuan Teknologi dan Jangkauannya” membincangkan tentang isu terjemahan audiovisual melalui integrasi kecerdasan buatan (AI) yang melibatkan teknologi seperti model Generative Pre-Training Transformer (GPT).
Beliau menekankan manfaat teknologi dalam usaha memudahkan akses kepada produk audiovisual, termasuk untuk golongan berkeperluan khas, sambil menyokong perancangan bahasa kebangsaan yang lebih mampan.
Sesi pertama seminar ini dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar.