24 Oktober 2024, 10:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penuturan bahasa Melayu yang baik dapat melahirkan masyarakat yang bersifat insaniah.

Demikianlah inti pati yang dapat dirumuskan daripada perbincangan sesi forum bertajuk “Bahasa Sopan, Mental Sihat” dalam Seminar Perancangan Bahasa Kebangsaan 2024 yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 22-24 Oktober 2024 di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, semalam.

Menurut Pakar Perunding Kanan Psikiatri dan Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, YBrs. Dr. Azizul Awaluddin, penggunaan bahasa yang baik dapat mempengaruhi kesihatan emosi seseorang individu, justeru masyarakat perlu cakna terhadap kepenggunaan bahasa yang baik terhadap seseorang.

Ujar beliau,

Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan cakna terhadap penggunaan bahasa yang baik terhadap anak-anak supaya mereka tidak terpengaruh terhadap bahasa persekitaran.

YBrs. Dr. Azizul Awaluddin menegaskan bahawa penggunaan bahasa yang baik mampu mempengaruhi emosi seseorang.

Tambah beliau, pengunaan media sosial yang melampau dengan bahasa yang kesat boleh mengancam emosi seseorang dan menyebabkan mereka terjerumus dalam penderitaan.

Hal ini disokong oleh Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Puan Mediha Mahmood yang mengatakan bahawa penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak atau remaja yang perlu dipantau dan dikawal oleh ibu bapa.

 

Puan Mediha Mahmood membincangkan isu kegunaan media sosial perlu dipantau oleh ibu bapa.

Beliau berkata,

Penggunaan media sosial yang melampau dapat memberikan kesan yang negatif terhadap emosi kanak-kanak kerana bahasa yang kurang sopan atau tidak elok dapat mempengaruhi minda kanak-kanak.

Sementara itu, Pengarah Mache Allstar United Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Arisz Ab Rahman J.P pula menekankan bahawa industri kreatif perlu memainkan peranan penting dalam penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

 

YBhg. Dato’ Arisz Ab Rahman J.P berpendapat bahawa industri kreatif perlu diterapkan dengan penggunaan bahasa Melayu yang baik.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengambil langkah yang sewajarnya melalui penggunaan iklan “Penafian” untuk mengelakkan penggunaan bahasa rojak dalam masyarakat.

“Bahasa yang sesuai untuk kita melabelkan sesuatu tindakan tanpa menggunakan bahasa yang kesat adalah dengan menggunakan simpulan bahasa atau peribahasa yang sesuai dengan perbuatan tersebut,” katanya.

Sesi forum ini dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Perkamusan DBP, Encik Abdul Ghani Abu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.