Diterbitkan pada 25 Oktober 2024, 15:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – “Kerajaan Negeri Sabah sentiasa memberikan perhatian dan menyokong usaha pemerkasaan dan pemartabatan bahasa kebangsaan. Sebagai bangsa yang berjati diri dan bermaruah, usaha pemartabatan bahasa kebangsaan tidak harus diketepikan ataupun diperlekeh. Rasa megah terhadap bahasa kebangsaan yang akan menentukan pelestarian bahasa kebangsaan.”

Demikian antara inti pati ucapan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Datuk Haji Mohd. Arif  yang mewakili Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersempena dengan Majlis Pelancaran Bulan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2024.

YB Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Datuk Haji Mohd. Arif yang mewakili Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Sementara itu dalam ucapan alu-aluan pula, Pengarah Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin yang mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari memaklumkan usaha membentuk sikap positif semua golongan terhadap bahasa kebangsaan dan peluasan penggunaannya dalam semua sektor, dengan penggunaan mutu bahasa yang baik, masih terus menjadi agenda DBP, selaras dengan Akta DBP yang bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan.

Tetamu kenamaan bersama-sama melafazkan Ikrar Setia Bahasa.

Sementara itu, dalam majlis yang sama Pidato Umum Kebitaraan Bahasa telah menampilkan YBhg. Profesor Saidatul Nornis Haji Mahali, dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah dengan tajuk “Ragam Bahasa Melayu, Dialek Melayu Sabah” dan “Bahasa Sabah: Istilah Mana yang Perlu Diperkasakan dan Istilah Sebagai Pemersatu”.

Persembahan Deklamasi Puisi yang bertenaga daripada Encik Ardiansyah Wayang dan Puan Dayana Chacho.

Dalam majlis yang sama, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin telah menyampaikan hadiah program-program yang telah diadakan bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2024, iaitu Jejak Bahasa Jiwa Bangsa, Pertandingan Buku Skrap dan Sayembara Menulis Artikel.

Acara kemuncak majlis ini ialah penyampaian Anugerah Terampil  Bahasa Sektor Awam yang menobatkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah sebagai penerima Hadiah utama yang menerima sijil penghargaan dan wang bernilai RM2,000.00.

Pejabat Setiausaha kerajaan Negeri Sabah menerima Hadiah Utama Anugerah Terampil Bahasa Sektor Awam.

Hadiah penghargaan pula telah disandang oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah yang menerima sijil penghargaan dan wang bernilai RM1,000.00.

Sementara itu, lima agensi lagi telah dipilih sebagai penerima hadiah galakan yang membawa pulang sijil penghargaan dan wang bernilai RM500.00, iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Kementerian Kerja Raya Sabah, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Masyarakat dan Jabatan Penyiaran Negeri Sabah.

Persembahan Tarian Tradisional menyerikan majlis.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, YB Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M. Yahya; Ahli Lembaga Pengelola DBP, YB Datuk Jasni Matlani; Sasterawan Negeri Sabah, Setiausaha-setiausaha Tetap, Ketua-ketua Jabatan, para pensyarah dan para pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam di negeri Sabah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi