Diterbitkan pada 28 Oktober 2024, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Padang Rengas – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menekankan tentang kepentingan mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu dan istilah yang tepat. 

Dalam ucapannya pada Majlis Ramah Mesra YAB Perdana Menteri Bersama Masyarakat di Arena Square, Pekan Isnin, semalam, beliau memaklumkan bahawa perkataan seperti “alaf”, “mampan” dan “telus” telah dipopularkan melalui ucapan rasmi dan tidak rasmi beliau untuk memperkayakan penggunaan kosa kata bahasa Melayu masyarakat.

“Kita sebagai pemimpin perlu mendidik anak-anak untuk menggunakan bahasa Melayu yang sarat dengan istilah tepat.

Kita gunakan istilah “ketelusan” sebagai pengganti transparency, yang berasal daripada dialek tempatan di Selangor, malah bahasa Iban juga disuntik dalam percakapan harian melalui istilah seperti “mansang” (yang membawa maksud mari, semakin atau pergi).

“Ini adalah usaha untuk menyemarakkan bahasa Melayu yang kaya dengan pelbagai latar masyarakat tempatan,” ujar beliau.

Dalam sesi Sidang Dewan Rakyat pada 21 Oktober yang lalu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Dato’ Rosol Wahid mempersoalkan penggunaan perkataan “ketimbang” oleh Perdana Menteri.

Menjawab kekeliruan tersebut, Perdana Menteri mengakui bahawa perkataan baharu mungkin kurang difahami pada awalnya, tetapi perlu diperkenalkan untuk membentuk kesedaran berbahasa yang lebih luas.

Hantaran media sosial DBP yang  menjelaskan makna perkataan ketimbang.

Dalam respon pantas, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 24 Oktober lalu memuat naik hantaran di media sosial rasmi, menjelaskan bahawa “ketimbang” membawa maksud “menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu”. DBP juga mengesahkan perkataan ini akan dimasukkan dalam Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad; Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, YB Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; Pegawai Kewangan Negeri Perak, YB Dato’ Mohd Zaki Mahyudin; Ketua Pengarah Kastam, YBhg. Dato’ Anis Rizana Mohd Zainudin@Mohd Zainuddin; Pengarah Pembangunan Negeri Perak, YBhg. Dato’ Haji Shamshuzaman Haji Sulaiman dan Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, YBrs. Toh Maharaja Indera Dr. Haji Khairil Anuar Arshad.

Dengan inisiatif ini, Perdana Menteri berharap agar bahasa Melayu dapat berkembang sebagai bahasa ilmu dan komunikasi yang dinamik, mampu menyerap pengaruh dari pelbagai budaya sambil tetap berakar pada identiti kebangsaan.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi