Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSesuatu perkataan yang jarang digunakan di tengah-tengah masyarakat, apabila sesekali muncul dan digunakan, tidak dinafikan boleh menimbulkan pelbagai reaksi dan tanggapan pihak yang menerima atau mendengarnya. Punca terjadinya hal demikian adalah lantaran sikap kebanyakan kita sebagai seorang manusia yang normal. Sesuatu yang baharu, asing dan jarang didengarinya akan mudah menimbulkan rasa kurang faham dan tidak selesa. Lebih memburukkan keadaan apabila hal ini diberikan reaksi negatif dalam kalangan mereka.
Hal ini sering berlaku dalam kalangan penulis atau sasterawan yang sentiasa mencari dan mahu menampilkan sesuatu kelainan dan pembaharuan dalam penggunaan bahasanya. Namun begitu, disebabkan sering menampilkan kata baharu yang kadang kala sudah dilupakan orang, maka mereka berdepan dengan sanggahan dan ditohmah sebagai “suka menyatakan sesuatu yang sulit difahami oleh masyarakat”.
Akan tetapi, seseorang pengguna bahasa yang bertanggungjawab akan sentiasa berusaha memahami dan mencari makna bagi sesuatu perkataan baharu yang didengar atau ditemuinya. Sesuatu perkataan itu mungkin kedengaran asing kerana jarang dan tidak digunakan secara meluas di tengah-tengah masyarakat atau dituturkan hanya dalam kelompok tertentu yang kecil serta terpilih (elit).
Kamus merupakan satu daripada sumber untuk menemukan makna sesuatu kata. Namun begitu, usaha mencari makna sesuatu kata tidak tertakluk pada satu jenis kamus sahaja. Sebagai pengguna bahasa yang bertanggungjawab, sebelum menjadikan sesuatu kata itu sebagai bahan sendaan atau cercaan kerana jarang didengar atau digunakan, lebih elok sekiranya makna kata tersebut dicari daripada pelbagai kamus yang lain.
Misalnya kata “ketimbang” yang tidak ditemukan maknanya dalam Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Perkataan ini kembali menjadi sebutan meluas dalam kalangan kita kini apabila disebut beberapa kali dalam suatu pembentangan oleh seorang tokoh politik negara kita. Malangnya, tanpa berusaha mencari makna sebenarnya daripada pelbagai kamus bahasa Melayu yang lain, perkataan ini dijadikan bahan sendaan oleh banyak orang atau pihak lain. Walaupun tidak terdapat dalam kamus tertentu, tidak bermakna sesuatu kata itu tidak wujud dan digunakan oleh seseorang hanya untuk mengada-ada atau mahu berlagak. Hal ini diakui oleh seorang teman penulis yang berketurunan Jawa bahawa kata tersebut berasal daripada bahasa yang dituturkan oleh orang Jawa.
Pada akhirnya, perbuatan kalangan kita yang mempersendakan kata ini, terutamanya oleh pihak oposisi yang sanggup mempergunakan apa-apa sahaja sebagai modal percakapan politik mereka sebagai hujah negatif, mendatangkan rasa mual kepada kita yang faham, mengerti dan sebagai pengguna bahasa yang aktif dan saksama; yang melihat bahasa hanya sebagai bahasa.
Jika berusaha mencari atau bertanya kepada orang yang lebih tahu, kemungkinan kita akan menemukan maknanya. Contohnya, carian dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia terbitan Departemen Pendidikan dan Kebudayaan bersama Balai Pustaka, Indonesia (cetakan ketiga, 1990), halaman 434 memberikan makna “ketimbang” sebagai “dibandingkan dengan; daripada” dengan contoh ayat, “laju pertambahan penduduk lebih cepat — (ketimbang) pertambahan produksi bahan makanan”.
Semoga artikel ini dapat menjelaskan kekeliruan dan tidak terus menjadikan diri kita sebagai seorang yang suka mempersendakan bahasa, semata-mata kerana kurang tahu atau kurang kefahaman kita terhadapnya!