9 November 2024, 15:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Muhammad Faizuddin Hashim diangkat sebagai Pemantun Terbaik Pesta Sayembara Pantun MADANI antara Kementerian Tahun 2024.

Kuala Lumpur – Pemantun dari pasukan Kementerian Pengajian Tinggi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (KPT UIAM), iaitu Muhammad Faizuddin Hashim diangkat sebagai Pemantun Terbaik Pesta Sayembara Pantun MADANI antara Kementerian Tahun 2024. Dengan kemenangan ini, Faizuddin berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM700.

Pesta Sayembara Pantun MADANI antara Kementerian Tahun 2024 yang diadakan pada 4 hingga 6 November 2024 ini mengangkat tema “Penjawat Awam Nadi Malaysia MADANI”. Penjawat awam merupakan penggerak utama dasar kerajaan dalam merealisasikan aspirasi negara ke arah pentadbiran yang cekap dan berintegriti. Pantun pula dijadikan medium untuk mengukuhkan nilai MADANI seperti ihsan dan perpaduan melalui bahasa yang kreatif, seni dan halus menjadikan pantun bukan sahaja sekadar warisan budaya, tetapi juga alat penyebaran mesej keharmonian dan kebijaksanaan masyarakat.

Pasukan Kementerian Pengajian Tinggi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (KPT UIAM) dinobatkan sebagai Johan Pesta Sayembara Pantun MADANI antara Kementerian Tahun 2024.

Pasukan KPT UIAM yang turut dianggotai oleh Mohd Norhafifi Zolkiaply dan Nur Fatin Ainina Nor Azman turut dinobatkan sebagai Johan pertandingan dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5000.

Naib Johan dimenangi oleh pasukan Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (KPM JPN Selangor) yang membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM3000.

Para pemenang Pesta Sayembara Pantun MADANI antara Kementerian Tahun 2024 bergambar kenangan bersama-sama dengan tetamu kehormat.

Tempat ketiga dan keempat disandang oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kewangan Malaysia, Bank Negara Malaysia (MOF BNM) dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2000 dan RM1000.

Sayembara yang dianjurkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) bersama-sama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena Dekad Bahasa Kebangsaan dan sambutan 65 tahun INTAN ini disertai oleh 10 buah pasukan termasuk Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri (Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sembilan), Jabatan Perdana Menteri (Unit Kerjasama Awam dan Swasta) serta (Jabatan Perkhidmatan Awam), Kementerian Pendidikan Malaysia (Sekolah Kebangsaan Seremban 2) dan Kementerian Kewangan Malaysia (Lembaga Hasil Dalam Negeri).

Pentas akhir yang berlangsung di Dewan Serbaguna INTAN Bukit Kiara ini menampilkan barisan jauhari hebat termasuklah Dr. Mohamad Shahidan, Dr. Mohd Hanafi Ibrahim, Dr. Faezah Muhayat, Dr. Sharil Nizam Sha’ari dan Encik Noorhisyam Razali.

Turut hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah ialah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan, dan Timbalan Pengarah Kanan INTAN, Datuk Dr. Haniff Zainal Abidin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.