12 November 2024, 11:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pagoh – Satu sesi perkongsian ilmu yang bertajuk “Wadah Ilmu: Globalisasi atau Realiti?” telah berjaya diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh sebagai satu daripada pengisian program Bulan Citra Bahasa 5.0 anjuran Kelab Anjung Melayu di UIAM Pagoh di bawah kelolaan Dr. Suhaizi Suhaimi selaku penasihat kelab. Program ini bertujuan memupuk kesedaran dan semangat cinta akan bahasa dan budaya dalam kalangan mahasiswa.

Peserta dan penceramah dalam Sesi perkongsian ilmu “Wadah Ilmu: Globalisasi atau Realiti?” bersempena dengan Bulan Citra Bahasa 5.0.

Sesi perkongsian ilmu ini dikendalikan oleh saudari Arissa Sophiana Azizul Zaman selaku pemudah cara. Penceramah jemputan bagi sesi tersebut ialah Dr. Julaina Nopiah yang merupakan Pensyarah Kanan Program Bahasa Melayu di UIAM Pagoh. Beliau merupakan seorang penyelidik bahasa membincangkan isu yang berkaitan dengan pendidikan globalisasi, impaknya terhadap sistem pendidikan di Malaysia, dan kaedah bahasa serta budaya tempatan dapat terus dipertahankan pada era moden ini.

Dalam diskusi ilmiah tersebut, ahli panel telah menekankan kepentingan ilmu sebagai asas utama dalam menghadapi cabaran globalisasi. Beliau menjelaskan bahawa globalisasi bukan sahaja membuka peluang untuk memperoleh ilmu dari seluruh dunia, tetapi juga membawa ancaman terhadap identiti bahasa dan budaya tempatan jika tidak diurus dengan bijak.

 

Beliau turut menyentuh tentang peranan bahasa dalam memperkasakan masyarakat bagi menghadapi realiti global. Menurut Dr. Julaina, mempelajari bahasa asing amat penting dalam era globalisasi, tetapi hal ini tidak sepatutnya mengorbankan bahasa dan budaya ibunda kita.

Menurut beliau,

Kita sebagai ibu bapa tidak boleh menafikan hak anak-anak dalam memperoleh bahasa ibunda mereka di rumah. Biarlah anak-anak mempelajari bahasa asing itu di sekolah. Hal ini bagi mengelakkan masalah kekeliruan bahasa dalam kalangan anak-anak.

Tambah beliau lagi, mentaliti kebanyakan masyarakat kini menganggap bahawa bahasa Melayu tidak sehebat bahasa yang lain. Pelajar yang mengambil aliran bahasa Melayu sering dipandang enteng berbanding dengan pelajar aliran yang lain. Hal tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan mempunyai kedudukan yang tersendiri di Malaysia.

Sesi perkongsian ilmu ini diakhiri dengan sesi soal jawab yang interaktif, iaitu para peserta berpeluang bertanya dan berkongsi pandangan dengan ahli panel.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.