Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Sesungguhnya, pembinaan, penggubalan dan pengembangan kata atau istilah tidak melemahkan kedudukan bahasa Melayu.”
Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh DBP semalam.
DBP menegaskan bahawa usaha pembinaan bahasa bertujuan untuk memantapkan sesuatu bahasa dari segi sistemnya secara menyeluruh yang merangkumi ejaan, sebutan, tatabahasa, istilah, kosa kata dan laras bahasanya.
Bahasa Melayu ialah bahasa yang hidup dan berkembang, selaras dengan realiti sosial, budaya, dan keperluan zaman. Bahasa Melayu bukanlah satu entiti yang statik, sebaliknya sentiasa berkembang mengikut penggunaan dalam masyarakat.
Dalam konteks ini, DBP selaku badan pengembangan dan perancangan bahasa sentiasa menggalakkan perubahan yang wajar agar bahasa ini tetap relevan tanpa mengorbankan kesantunan dan ketulenannya.
Kata baharu yang dibina tidak membetulkan atau menghilangkan makna dan fungsi kata yang terdahulu.
Sehubungan dengan itu, penggunaan perkataan bahasa Jawa atau Indonesia seperti “ketimbang” merupakan fenomena biasa dari sudut sosiolinguistik sebagaimana penyerapan perkataan lain seperti “beres”, “bobrok”, “bejat”, “aneh”, “awet” dan “pamer”.
Menurut DBP, penggunaan bahasa oleh masyarakat pengguna dalam pelbagai medium boleh dirakamkan sebagai korpus dan bersandarkan data korpus yang ada dan mencukupi ini, maka DBP akan membuat analisis dan menghuraikan penggunaannya yang sebenar dan memberikan takrifan yang lebih tepat.
Di samping itu, DBP berpendapat bahawa masyarakat mempunyai pilihan sama ada ingin menggunakannya ataupun tidak mengikut kesesuaian penggunaannya tanpa paksaan.
“Penyerapan kata-kata ini memberikan nilai terhadap pengayaan perbendaharaan kata bahasa Melayu,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, DBP menegaskan bahawa penerbitan Kamus Dewan Perdana pada tahun 2020 yang memuatkan lebih daripada 120,000 kata bahasa Melayu merupakan bukti keunggulan bahasa Melayu yang menjadi tonggak utama dalam membina identiti nasional dan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Tambah DBP lagi,
Bahasa Melayu menjadi teras bagi bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa negara, malah fungsinya juga bukan hanya sebagai bahasa komunikasi, tetapi juga simbol perpaduan pelbagai kaum.
Usaha memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dilaksanakan dalam kerangka memelihara warisan budaya kita sambil mengadaptasi bahasa untuk kegunaan praktikal.