Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIpoh – Bagi mendepani isu ketirisan murid terhadap kemampuan membaca dan menulis, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Perak dengan kerjasama GPMS Cawangan Tambun serta rakan kolaborasi, iaitu Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh mengambil inisiatif untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan 40 orang pelajar di Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan dalam Program Literasi Negeri Perak Bahasa Melayu (Plan B) yang diadakan pada 13 November yang lalu.
Dalam ucapan perasmian, Pensyarah Akademik Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Ipoh, YBrs. Dr. Mohd Hafiz Mohamad Tarmizi menzahirkan penghargaan terhadap kerajaan negeri Perak melalui GPMS Perak atas inisiatif untuk menganjurkan program tersebut.
Pembelajaran yang berkesan amat memerlukan teknik pembelajaran dan pelibatan murid sekolah secara aktif dalam aktiviti membaca dan menulis.
Selain itu, pada era perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang begitu pesat, literasi tidak hanya merangkumi kemampuan murid untuk membaca dan menulis, tetapi juga merangkumi keterampilan berfikiran kritis, komunikasi efektif serta pemahaman terhadap sesuatu perkara kerana membaca dan menulis merupakan perkara asas yang perlu dikuasai oleh semua murid.
Antara aktiviti yang dilakukan bersama-sama murid dalam Plan B tersebut termasuklah mengenal huruf melalui teknik intensif dan ekstensif melalui aktiviti pembacaan dan penulisan.
Semoga inisiatif yang dilakukan dapat memberikan peluang kepada murid untuk melalui pelbagai teknik literasi yang efektif yang sesuai dengan tujuan membaca dan menulis.
Dengan meningkatnya kesedaran masyarakat terhadap kepentingan membaca dan menulis seawal usia ini, diharapkan dapat membuka ruang kepada murid untuk lebih bersemangat dalam segala aspek perkembangan personel di samping kerjaya dan sumbangan terhadap masyarakat setempat.
GPMS menggalakkan semua pihak untuk mendukung aspirasi gerakan literasi Bahasa Melayu kerana membaca dan menulis merupakan kunci menuju masa hadapan yang lebih baik seiring dengan slogan GPMS Perak, iaitu “Belajar Terus Belajar”.