Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPort Dickson – Pidato “Rekayasa Inovasi Memperkasakan Produktiviti Kebombaan” telah mengangkat Pegawai Bomba Kanan II, Encik Mohd Fauzi Jamikah sebagai juara Pertandingan Pidato Bahasa Melayu bersempena dengan Majlis Penutupan Sambutan Minggu Inovasi Tahun 2024 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang berlangsung di Lexis Hibiscus, Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.
Encik Mohd Fauzi Jamikah yang mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Sabah telah membawa pulang hadiah bernilai RM1000, piala pusingan dan piala kemenangan dengan menewaskan empat lagi pemidato yang mewakili negeri masing-masing, iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perlis.
Sebelum melayakkan diri ke pusingan akhir, lima orang pemidato ini terlebih dahulu perlu bersaing pada peringkat saringan yang melibatkan 16 buah negeri dan lima buah akademi bomba.
Pada pusingan tersebut, setiap pemidato akan berpidato dengan bertemakan Inovasi Madani Pemacu Kreativiti.
Pada pusingan akhir, setiap peserta bebas untuk menggunakan mana-mana tajuk yang bersesuaian dan bertepatan dengan tema yang telah diberikan, iaitu Perekayasa Inovasi Perkasakan Produktiviti.
Naib johan pertandingan ini dirangkul oleh pemidato yang mewakil JBPM negeri Selangor, iaitu Encik Mohd Syafiq Mohamad Mahrim, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Encik Muhamad Hanafi Azman dari JBPM negeri Pulau Pinang.
Sementara itu, tempat keempat dimenangi oleh pegawai bomba wanita, iaitu Puan Nurhidayah Ibrahim dari JBPM Kuala Lumpur dan tempat kelima dimenangi oleh Encik Andi Muhamad Syafik Sharullah dari JBPM negeri Perlis.
Majlis penutupan yang disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YBhg. Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh JBPM untuk mencungkil bakat pengucapan awam dalam kalangan pegawai bomba.