Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur –“Bengkel ini adalah usaha untuk meningkatkan kemahiran para karyawan dalam bidang penulisan skrin serta untuk menterjemahkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.”
Demikian menurut Puan Roziah binti Md Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mewakili Ketua Pengarah DBP menyatakan akan terus memberikan sokongan kepada semua pihak yang melaksanakan usaha bagi memartabatkan bahasa kebangsaan khususnya melalui penulisan skrin.
Malah katanya lagi medium yang dimanfaatkan oleh industri skrin adalah kuasa yang boleh mempengaruhi ujaran bahasa yang baik dan indah kepada para penonton.
Rangka Penulisan Skrin 1.0 anjuran Persatuan Tinta Karya Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diadakan bermula 29 November hingga 4 Disember 2024 di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Puan Wan Noor Zazreena Wan Zaizodin, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Latihan Industri, FINAS mewakili Ahli Perbadanan Finas. Dalam ucapannya beliau menyatakan FINAS akan terus menyokong usaha-usaha melahirkan karyawan yang berkualiti dalam bidang penulisan skrin ini khususnya melalui penganjuran bengkel yang dilaksanakan oleh Persatuan Tinta Karya Malaysia.
Dalam ucapan alu-aluan, YBhg. Datuk Habsah Hassan, Pengerusi Persatuan Tinta Karya Malaysia berasa amat gembira serta mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada FINAS dan DBP atas kesudian bekerjasama melaksanakan perbengkelan ini.
Para pembimbing terdiri daripada Rozie Rashid, Suzanna Zz, Shaza Talib dan Siti Jasmina Ibrahim. Peserta akan mengikuti sesi bengkel meliputi Pembinaan idea, Pengenalan Filem Pendek, Bedah Filem Pendek, Asas Penceritaan, Watak dan Perwatakan, Format Skrip, Perisian Penulisan dan Sesi Lawatan Sambil Belajar ke DBP.
Untuk makluman Persatuan Tinta Karya telah mendapat kepercayaan FINAS bagi menganjurkan Bengkel Penulisan Skrin 1.0 bersempena dengan Festival Filem Malaysia ke-33.