Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Generasi muda perlu diyakinkan bahawa bahasa Melayu bukan sahaja relevan tetapi juga mampu menjadi medium yang efektif sebagai bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa negara.”
Demikian menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari, sewaktu diwawancara dalam rancangan “Apa Khabar Malaysia” di BERNAMA TV pada hari ini.
Bahasa Melayu berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam usaha untuk mendaulatkan kedudukannya, terutama dalam kalangan generasi muda. Antara cabaran utamanya termasuklah sikap individu terhadap bahasa Melayu, walhal Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
Menurut beliau, bagi menghadapi cabaran ini, DBP sentiasa melaksanakan usaha bersepadu dengan kerajaan, pendidik dan masyarakat. Langkah yang diambil termasuklah:
Ujar beliau, bagi memastikan bahasa Melayu terus diangkat dan diperkasakan, di samping menjadikannya sebagai bahasa kebangsaan dan warisan budaya negara yang dihormati dan relevan, pelbagai usaha telah dilakukan oleh DBP.
Usaha DBP ke arah memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam pula turut menekankan pematuhan terhadap Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) tentang pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam. Pematuhan ini dipantau melalui Audit Bahasa Melayu yang seiring dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32).
YBrs. Dr Hazami Jahari turut berkata, DBP menyokong tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memastikan pemilik premis mematuhi peraturan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda iklan, seperti yang termaktub dalam Undang-undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982.
Pada peringkat antarabangsa, DBP dengan kerjasama Majlis Bahasa Melayu Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) berperanan untuk memajukan bahasa dan sastera Melayu di luar negara. Di samping itu, DBP turut mengadakan kerjasama dengan institusi, organisasi dan persatuan pelajar di luar negara bagi mengadakan pelbagai program apresiasi bahasa dan sastera.
Selain itu, dalam konteks penggunaan media sosial pula, DBP turut aktif memuat naik kandungan interaktif seperti infografik, pantun, peribahasa dan puisi yang bertujuan meningkatkan pemahaman dan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.
Hal ini juga menjadi platform untuk masyarakat berkongsi pengetahuan dan membincangkan isu yang berkaitan dengan bahasa Melayu. DBP juga mengadakan program bual bicara, segmen peribahasa pagi dan rancangan “DBP di Sana Sini” yang disiarkan menerusi media sosial untuk meningkatkan kecintaan terhadap bahasa Melayu, terutamanya dalam kalangan golongan muda.
Dalam konteks perpaduan bangsa dan kestabilan negara, bahasa Melayu memainkan peranan penting sebagai alat penyatuan antara etnik yang berbilang bangsa di Malaysia. Penggunaan bahasa yang sama dalam komunikasi harian, di tempat kerja, sekolah, pasar raya atau dalam perbualan sehari-hari dapat memupuk hubungan sosial yang lebih baik dan melahirkan rasa kebersamaan serta saling memahami antara rakyat Malaysia.
Ketua Pengarah DBP turut menegaskan bahawa usaha memperkasakan bahasa Melayu ini perlu melibatkan sektor swasta, penerbit dan usahawan seni melalui penggunaan teknologi agar bahasa Melayu terus hidup dalam pelbagai sektor.
Usaha ini juga dapat direalisiasikan dengan bantuan pihak berkuasa termasuklah kerajaan untuk memberikan geran kepada penggiat seni bagi menghasilkan karya yang memartabatkan bahasa Melayu.
Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan fasih, di samping memastikan mereka terlibat dengan program yang memartabatkan dan memperkukuh bahasa Melayu.