18 Disember 2024, 17:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  “Kamus Dewan Perdana (KDP) merupakan rujukan terbaik bagi pengamal media untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dengan tepat dalam membuat liputan berita.”

Demikian menurut Pengarah Jabatan Pembinaan dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin ketika menyampaikan taklimat dan perkongsian dalam program Pembudayaan dan Pemasyarakatan KDP di Wisma DBP pagi ini.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin ketika menyampaikan taklimat dalam program Pembudayaan dan Pemasyarakatan KDP.

Jelas beliau,

“Pengamal media dan semua agensi terlibat perlulah memainkan peranan penting melalui penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan betul dengan merujuk KDP agar tidak timbul isu ‘berita palsu’ atau maklumat yang salah.”

Dalam program ini juga, beliau menegaskan KDP sesuai digunakan oleh pengamal media bagi menghasilkan penulisan berita dalam bahasa Melayu yang baik dan menggunakan kosa kata dan peristilahan dengan tepat.

Melalui penggunaan KDP sebagai rujukan juga dapat memantapkan kosa kata, ejaan dan sebutan bahasa secara tepat di samping dapat meningkatkan kemahiran bertutur bahasa Melayu dengan baik.

Tambah beliau lagi,

Kamus ialah alat sumber maklumat dan telaga maklumat yang mudah untuk dirujuk bagi mengembangkan bahasa  dan bahagian penting dalam pembinaan, pembangunan dan perancangan bahasa.

Dalam masa yang sama, Dr. Rusmadi Baharudin turut berkesempatan menyampaikan cenderamata, iaitu KDP kepada agensi media yang hadir termasuklah Berita Harian dan JAKIM.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perkamusan DBP, Encik Abdul Ghani Abu ketika ditemu bual oleh JendelaDBP menyatakan bahawa pihak media perlulah mesra dalam KDP bagi menguasai penggunaan kosa kata baharu yang diterbitkan dalam kamus dewan.

Ujar beliau,

Pihak media juga bertanggungjawab menghebahkan pengguna kosa kata kamus dalam kehidupan seharian dan  memperkukuh penggunaan bahasa Melayu tinggi.

Penganjuran program Pembudayaan dan Pemasyarakatan KDP adalah sebagai pendedahan kepada pengamal media untuk menguasai  takrifan suatu kata dan istilah bahasa Melayu dengan tepat.

Terdahulu, Program Pembudayaan dan Pemasyarakatan KDB ini diadakan bagi mengukuhkan kelestarian peradaban dan meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan penggunaan kamus dalam kalangan karyawan DBP, murid sekolah serta pengamal media. Selain sesi perkongsian tentang KDP, terdapat juga aktiviti menarik termasuklah permainan Roda Kata untuk menguji pengetahuan peserta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.