Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Minggu Silang Budaya anjuran Persatuan Mahasiswa Bahasa dan Komunikasi (PMBK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang bermula pada 16 Disember 2024 selama seminggu menonjolkan kepelbagaian bahasa dan budaya negara.
Objektif utama penganjuran program tersebut adalah untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan mahasiswa, memperluas penggunaan bahasa antarabangsa dan menghargai kepelbagaian budaya yang wujud khususnya dalam negara Malaysia.
Menurut Pengarah Program Minggu Silang Budaya ini, iaitu Daachayani Kunalan, beliau menyatakan keterujaan terhadap peluang dan ruang yang diberikan untuk menganjurkan program ini kerana program ini mampu menarik minat sebilangan besar mahasiswa untuk meneroka kepelbagaian bahasa dan budaya di negara ini, seterusnya menambah baik penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan mahasiswa.
Aktiviti pameran tentang kebudayaan turut diadakan sepanjang tempoh program tersebut berlangsung. Antara pameran yang diadakan termasuklah pameran tentang kepelbagaian bahasa dan budaya dari negara luar, sekali gus mengasah bakat mahasiswa yang mampu menggunakan bahasa ketiga dalam komunikasi seharian seperti bahasa Mandarin, bahasa Perancis dan bahasa Arab.
Turut diadakan pementasan teater yang bertajuk “Gadis Berangan” yang memaparkan kehidupan seorang gadis yang memasang impian untuk ke luar negara, lantas memaparkan budaya dan bahasa dari negara lain sebagai pengisian program tersebut.