31 Disember 2024, 10:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Melalui penganugerahan gelaran Ikon Bahasa, Encik Lim San Shien bertekad mengantarabangsakan bahasa Melayu dengan pelbagai inisiatif. Beliau menekankan tentang pentingnya pertukaran ilmu, menyampaikan ucapan di platform antarabangsa menggunakan bahasa Melayu serta memacu penterjemahan karya antarabangsa ke dalam bahasa kebangsaan.

Jika dilihat bahasa Melayu dalam konteks perpaduan negara, satu daripada definisi (identiti) sosial ialah penggunaan bahasa,” ujar Encik Lim San Shien ketika ditemu ramah oleh BERNAMATV pagi tadi. 

Menurutnya, bahasa Melayu sebagai medium penyatuan amat diperlukan dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. “Kita perlu menggunakan bahasa yang mudah untuk ditutur dan difahami seperti bahasa Melayu.” 

Beliau turut mengakui bahawa keupayaan warga asing memahami dan menggunakan bahasa Melayu menjadi bukti nilai ekonomi serta kepentingannya pada peringkat global. Pempengaruh dari Korea Selatan dan Jepun misalnya, telah menghasilkan kandungan dalam bahasa Melayu dan hal ini mencerminkan potensi bahasa Melayu sebagai alat komunikasi sejagat.

Selain itu, Encik Lim San Shien menegaskan bahawa pengajaran bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa terus diperkukuh dengan pewujudan Kursi Pengajian Melayu di negara seperti China, Amerika Syarikat, Belanda, Korea Selatan dan New Zealand.

“Pewujudan Kursi Pengajian Melayu membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai nilai pada peringkat antarabangsa sebagai wadah penyampaian ilmu dan bahasa pendidikan formal,” katanya.

Sebagai Ikon Bahasa, Encik Lim San Shien komited untuk terus mengangkat martabat bahasa Melayu, bukan sahaja sebagai bahasa kebangsaan tetapi juga sebagai bahasa yang dihormati di arena antarabangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.