Diterbitkan pada 9 Januari 2025, 14:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi − “Peruntukan bahasa kebangsaan dalam bidang perundangan dan kehakiman dalam negara ini jelas kerana telah termaktub dalam undang-undang tertinggi negara, iaitu Perkara 152 yang memperuntukkan bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan perlu digunakan dalam urusan rasmi negara”, ujar YBrs. Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam sebagai seorang daripada ahli panel dalam wacana bahasa yang bertajuk “Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Undang-undang: Cabaran Kini dan Mendatang”.

Wacana yang dianjurkan oleh Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini telah berlangsung di Fakulti Undang-undang, UKM pada hari semalam.

Wacana ini turut menampilkan tiga orang ahli panel dalam bidang perundangan dan berpengalaman luas, iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam (Ahli Lembaga Pengelola DBP yang juga Pensyarah Fakulti Undang-undang, UKM), Tuan Mohd. Rosly Khady Mohd Ayub Khan (Peguam bela dan Peguam cara), Tuan Mohd Wafiyuddin Al-Awal (Ketua Sekretariat Muda, Persatuan Peguam Muslim Malaysia) dan dipengerusikan oleh Encik Mohd. Faris Daniel, pelajar Fakulti Undang-Undang, UKM.

YBrs. Dr. Ramalinggam membawa penelitian tajuk ini kepada empat aspek utama, iaitu bahasa digunakan dalam pendidikan undang-undang, bahasa amalan yang digunakan oleh pengamal undang-undang, bahasa digunakan dalam penggubalan undang-undang negara serta bahasa digunakan dalam undang-undang dan kehakiman di negara ini yang kesemuanya menjadi penanda aras tentang sejauh manakah pemartabatan bahasa kebangsaan dalam bidang ini.

Tegasnya lagi,

Isu ini tidak akan dapat dirungkai sekiranya empat cabaran ini tidak diberikan tindakan sewajarnya, iaitu kurangnya kesedaran dan sokongan terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam perundangan dan kehakiman, kekurangan penguasaan bahasa Melayu undang-undang dalam kalangan mereka yang berada dalam bidang ini, penggunaan secara meluas bahasa Inggeris serta kekurangan dan ketidakseragaman istilah dalam bidang ini.

Menurut Tuan Mohd. Rosly Khady, tekad yang kuat amat perlu bagi pengamal undang-undang di negara ini bagi memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang ini.

Sejujurnya beliau turut berkongsi tentang hilangnya keyakinan terhadap keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa undang-undang kerana wujudnya cabaran istilah yang dilihat sukar ditangani oleh mereka yang berada dalam bidang ini.

Pengerusi (kanan) dan tiga orang ahli panel wacana “Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Undang-undang: Cabaran Kini dan Mendatang” .

Sementara itu, Tuan Mohd Wafiyuddin Al-Awal turut menyatakan bahawa situasi di mahkamah syariah sedikit berbeza dengan mahkamah yang lainnya kerana bahasa kebangsaan sebagai bahasa undang-undang dapat dilaksanakan secara meluas dan undang-undang atau punca kuasa bahasa kebangsaan sebagai bahasa undang-undang dimiliki oleh setiap negeri yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang digunakan dalam dokumen, perbicaraan, kehakiman dan sebagainya.

Namun begitu, perundangan mahkamah syariah tetap juga berhadapan dengan cabaran yang hampir sama dengan mahkamah sivil, iaitu terdapat istilah syariah dalam bahasa Arab yang mengalami kesukaran untuk diterjemahkan, namun tetap dapat dilaksanakan.

Mengakhiri wacana, ahli panel berharap semua pihak menyedari akan kesannya terhadap jati diri warganegara ini terhadap bahasa kebangsaan sekiranya dibiarkan senario ini berlaku dan tidak diatasi. Bahasa kebangsaan sebagai bahasa undang-undang mendapat punca kuasanya daripada Perlembagaan Persekutuan.

Turut hadir menyaksikan wacana ini termasuklah Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus, YBrs. wakil Dekan Fakulti Undang-undang UKM, YBrs. Dr. Muhamad Sayuti Hassan@Yahya, wakil Pengurusan Fakulti Undang-undang UKM, YBrs. Dr. Nadilah Abd. Kadir dan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tuan Muhamad Hisham Marzuki.

 

 

 

 

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi