Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengerusi Lembaga Pengelola, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan mengucapkan tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas pencapaian gemilang sepanjang tahun 2024.
Beliau yang berucap ketika Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Balai Budaya Tun Nasir pagi tadi menyatakan bahawa DBP telah mempergiat usaha dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dan program bertaraf antarabangsa yang melibatkan tokoh negara. Antaranya termasuklah Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu dan Seminar Sudut Pemikiran Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.

Menurut beliau,
DBP sentiasa menghargai jasa dan peranan ketiga-tiga tokoh, antaranya Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang perlu diteladani kerana mengamalkan budaya nilai tinggi melalui pembacaan untuk memperkasakan bahasa kebangsaan. Kedua, Menteri Pendidikan Malaysia YB Fadhlina Sidek yang mempunyai hubungan erat dan sentiasa menyokong segala program dan aktiviti DBP. Ketiga, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Haji Ruji Haji Ubi membantu menyegerakan kertas kerja DBP ke pihak atasan dengan mengamalkan konsep “kesegeraan” dalam pelaksanaan tugas rasmi.
Pada masa yang sama, Pengerusi Lembaga Pengelola juga menyatakan beberapa hasrat tentang peranan DBP untuk merealisasikan aktiviti dan penerbitan bagi tahun 2025 dalam kalangan pengarang ASEAN, mengangkat bahasa Melayu di pentas antarabangsa menerusi Model Bahasa Skala Besar, mengadakan Anugerah Nobel Kesusasteraan tahun 2025, Anugerah Southeast Asia (SEA) kbagi penulis muda dan beberapa agenda untuk menyebarluaskan pengembangan bahasa Melayu hingga ke peringkat antarabangsa.
Sementara itu, beliau turut berharap agar pihak DBP berkembang maju dan proaktif dalam memainkan peranan untuk menyemarakkan bahasa kebangsaan dengan menonjolkan diri secara berwibawa dalam bidang sastera, bahasa dan penerbitan. DBP juga perlu bertindak pantas dengan mengamalkan konsep “kesegeraan” sebagai budaya kerja.
Majlis ini turut diserikan dengan acara deklamasi puisi yang bertajuk “Sejahtera Bangsaku” dan “Arkitek Kota” yang dipersembahkan oleh Ketua Bahagian Sumber Manusia, Encik Azhar bin Mohamad Dora dan karyawan DBP, Puan Maisarah Baharudin.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md Jahari Hassan; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Encik Azhari Edin; Pengarah Wilayah DBP, Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Unit serta karyawan DBP.