10 Januari 2025, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka Tengah – Dunia bahasa dan pendidikan tanah air kehilangan seorang tokoh apabila penulis prolifik dan mantan guru Bahasa Melayu, Tuan Haji Samat Buang, telah kembali ke rahmatullah semalam.

Allahyarham yang dikenali melalui sumbangannya terhadap majalah Pelita Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan bahan Komponen Sastera (Komsas) telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Rahmah, Taman Bukit Rambai, Melaka pagi ini.

Tuan Haji Samat, 68, telah menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besar Melaka sejak Disember 2024 akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru berair. Keadaan kesihatan beliau yang semakin kritikal menyebabkan doktor terpaksa menidurkan beliau untuk rawatan lanjut sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 9 Januari 2025.

Allahyarham dikenali sebagai seorang pendidik yang berdedikasi, memulakan khidmat sebagai guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Haji Abdul Malek, Melaka sejak tahun 1979 dan bersara pada tahun 2011. Sumbangan beliau melangkaui bilik darjah apabila beliau aktif berkongsi ilmu di platform digital seperti Facebook dan Telegram. Allahyarham sering memberikan panduan kepada guru dan murid dalam isu yang berkaitan dengan tatabahasa, ejaan dan istilah semasa selain berkongsi jadual peperiksaan serta artikel pendidikan.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Hajah Nor Haliza Muhamad Kasim, 66 yang juga seorang guru, serta enam orang anak (lima lelaki dan seorang perempuan).

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar, khususnya kepada komuniti pendidikan dan sastera Melayu. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.