Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh − Siri Syarahan Perdana: Penyelidikan Bahasa Melayu pada Era Kecerdasan Buatan (AI) telah diadakan pada 14 Januari 2025, bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus, Pagoh sebagai satu daripada usaha memperkukuh kedudukan bahasa Melayu di persada dunia.
Syarahan yang disampaikan oleh Pensyarah Linguistik Terapan, Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg. Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam ini telah membuka ruang perbincangan yang mendalam tentang cabaran dan peluang yang dihadapi oleh bahasa kebangsaan pada era kecerdasan buatan serta membincangkan bagaimana perkembangan AI boleh mempengaruhi penyelidikan dan penggunaan bahasa Melayu di samping memastikan warisan budaya terus terjaga dalam revolusi digital yang semakin pesat.

Menurut beliau, mahasiswa tidak seharusnya terlalu bergantung dengan penggunaan AI yang boleh menjejaskan pemikiran kritis dan inovatif dalam diri mereka, sebaliknya menjadikan AI sebagai alat untuk membantu mahasiswa dalam memperkaya bahasa Melayu yang lebih mantap.
Sementara itu, program yang turut dihadiri oleh semua pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, UIAM Kampus Pagoh ini diakhiri dengan sesi soal jawab yang mengetengahkan pelbagai pandangan dan perbincangan antara peserta dengan penceramah.
Penganjuran syarahan seperti ini diharap dapat memberikan harapan baharu bahawa bahasa Melayu tidak hanya dipertahankan, tetapi juga diperkukuh dalam menghadapi cabaran teknologi masa ini dan masa hadapan. Diharapkan, dengan ilmu dan pemahaman yang diperoleh, semua pihak dapat berganding bahu demi memartabatkan bahasa dan budaya Malaysia pada peringkat global.