Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 5 Februari 2025, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha memperluas kegiatan pengembangan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Uzbekistan State World Languages University (UzSWLU) buat julung-julung kalinya melakar sejarah tersendiri dalam Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.

Acara menandatangani MoU tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dan Rektor UzSWLU, YBhg. Profesor Dr. Ilkhomjon Tukhtasinov yang mewakili delegasi UzSWLU di Bilik Mesyuarat Tun Perak pada pagi tadi.

Sesi menandatangani MoU antara DBP dengan delegasi UzSWLU.

Selain itu, Rektor UzSWLU, YBhg. Profesor Dr. Ilkhomjon Tukhtasinov berkata pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada DBP dengan kejayaan pemeteraian MoU tersebut dan gembira dengan jalinan kerjasama erat antara Malaysia dengan Uzbekistan, selain lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Uzbekistan pada tahun lepas dan timbal balik oleh Presiden Uzbekistan yang kini berkunjung hormat ke Malaysia.

Saya mengharapkan pelaksanaan yang proaktif dapat dilakukan hasil daripada pemeteraian memorandum ini termasuk latihan tenaga pengajar dalam bidang bahasa Melayu, pertukaran guru dan pelajar serta penerbitan buku daripada DBP untuk memperkasakan pembelajaran bahasa dan kebudayaan Melayu di Uzbekistan.

Rektor UzSWLU, YBhg. Profesor Dr. Ilkhomjon Tukhtasinov (kiri) ketika berucap selepas selesai sesi menandatangani MoU.

Pada masa yang sama, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menegaskan bahawa program dan projek yang telah dirancang bersama dalam MoU berkenaan akan dilaksanakan dengan kadar yang segera.

Beberapa perkara berada dalam perancangan dan pertimbangan kita untuk mencapai kerjasama yang lebih utuh selepas ini, iaitu pertamanya ialah usaha melatih pakar dan guru bahasa di sana, kedua adalah dari aspek kegiatan pengembangan bahasa Melayu di Uzbekistan dan yang ketiga ialah pelaksanaan kerjasama penerbitan yang telah dipersetujui dalam pertemuan pada 3 Februari lalu.

“Antara perkara lain yang boleh dilaksanakan termasuklah kita menyarankan agar pihak UzSWLU dapat menghantar sejumlah pelajar atau pakar untuk berada di sini dalam tempoh tertentu dan DBP akan melatih mereka dari segi pengajaran bahasa Melayu, selain memperkenalkan kebudayaan di negara ini kepada mereka secara dekat,” ujarnya.

Sementara itu, MoU antara DBP dengan UzSWLU bakal berlangsung selama lima tahun dengan beberapa inisiatif utama dalam usaha mempromosikan bahasa Melayu di negara Asia Tengah itu.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Timbalan Rektor UzSWLU (Hal Ehwal Kerjasama Antarabangsa), YBhg. Profesor Dr. Nasirov Abdurakhim Abdimutalipovich; Ketua Jabatan Pengajian Bahasa Asing UzSWLU, YBhg. Profesor Dr. Azim Abdulrahmanovich Yuldashev; Pengarah-pengarah Jabatan dan Ketua-ketua Editor DBP.

Timbalan Rektor UzSWLU (Hal Ehwal Kerjasama Antarabangsa), YBhg. Profesor Dr. Nasirov Abdurakhim Abdimutalipovich (kiri) dan Ketua Jabatan Pengajian Bahasa Asing UzSWLU, YBhg. Profesor Dr. Azim Abdulrahmanovich Yuldashev (tengah) yang turut serta sebagai delegasi UzSWLU ke DBP.

Terdahulu, UzSWLU yang menawarkan pengajaran kursus Bahasa Melayu kepada pelajar Uzbekistan sejak tahun 2002 telah mengadakan sesi lawatan akademik pertama melalui delegasinya ke DBP pada Isnin lalu sebagai batu loncatan bagi kedua-dua pihak memeterai kerjasama khususnya bahasa dan kesusasteraan Melayu, kebudayaan, penyelidikan dan penerbitan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi