Diterbitkan pada 7 Februari 2025, 07:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sedang mempergiat usaha dalam meningkatkan kualiti penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam melalui Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa Siri 42 Bilangan 1 Tahun 2025.

Melalui inisiatif yang dilakukan oleh pihak INTAN, penjawat awam dapat lebih memahami dan menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di pejabat dalam urusan rasmi dan komunikasi seharian.

Sehubungan dengan itu, Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa Siri 42 Bilangan 1 Tahun 2025 menyediakan pelbagai modul dan input kepada peserta dalam memahami dan menghayati kesantunan berbahasa.

Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa (Perujuk Bahasa) ini merupakan antara aktiviti di bawah “Strategi 5: Mewujudkan Unit Khas Pelaksanaan Bahasa bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik, betul dan santun dalam kalangan penjawat awam” dalam rangka Pelan Tindakan Program Kebahasaan Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan 2015 – 2017.

Pelan Tindakan Program Kebahasaan Jawatankuasa Kecil Pelaksanan Bahasa Kebangsaan 2015 – 2017 telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Bil. 1/2015. Inisiatif ketiga dalam Strategi 5 menjelaskan akan keperluan memberikan latihan kebahasaan formal dan berperingkat kepada pegawai kementerian setiap sektor yang dilantik khas. Pegawai yang berjaya selepas ditauliahkan akan menjadi perujuk bahasa kepada kementerian supaya dokumen rasmi dan bahan bercetak agensi dapat menggunakan bahasa Melayu yang baik, betul dan santun serta mahir dalam bidang kebahasaan seperti yang termaktub dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Peserta yang lulus Ujian Kursus Pembinaan Munsyi Muda kelak akan dipanggil untuk mengikuti Kursus Pemantapan Munsyi Muda Bahasa bagi melayakkan peserta menerima Sijil Penuh Munsyi Muda Bahasa. Objektif kursus ini adalah supaya peserta dapat melakukan pemilihan kata yang betul bagi perkataan bahasa Melayu yang standard mengikut Kamus Dewan Perdana. Kedua, peserta juga dapat menggunakan ayat yang betul dan tanda baca yang tepat dalam dokumen rasmi jabatan. Seterusnya, peserta juga dapat mengaplikasikan gaya bahasa dan wacana yang betul dalam penulisan dokumen rasmi kerajaan.

Kursus ini diadakan selama lima hari bermula 3 Feb 2025 hingga 7 Feb 2025 (Isnin – Jumaat) di Institut Tadbiran Awam Negara Wilayah Tengah (INTENGAH) yang menghimpunkan sebanyak 32 orang penjawat awam dari pelbagai kementerian dan agensi bertempat di Bilik Kuliah Al-Ghazali, Aras 4, INTAN Jalan Elmu. Penceramah bagi kursus ini ialah Encik Abd. Karim A. Bakar yang merupakan Munsyi Dewan.

Antara petikan nasihat daripada penceramah semasa perkongsian ilmu penggunaan bahasa Melayu termasuklah ungkapan “biasakan yang betul, betulkan yang biasa”.

Sesi perbincangan antara penceramah dengan peserta.

Penjawat awam yang telah mengikuti kursus ini digalakkan untuk menyebarluaskan lagi ilmu tentang kemahiran berbahasa kepada penjawat awam lain di kementerian masing-masing bagi menggiatkan lagi pemahaman dan penghayatan mereka terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Penceramah menerima cenderahati daripada pihak INTAN.
Sesi bergambar peserta Munsyi Muda Bahasa bersama-sama pihak INTAN serta penceramah.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi