Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Proses penyuntingan naskhah amat penting dalam perkembangan dunia penulisan dan menjadi asas bagi penerbitan sesebuah karya. Sebuah karya yang dihasilkan tanpa melalui proses penyuntingan berisiko dalam penyampaian maklumat kepada pembaca.
Lantaran itu, pada 12 dan 13 Februari 2025, bertempat di Bilik Latihan 6 dan 7, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kursus Penyuntingan Berketerampilan Siri 1/2025 telah dianjurkan oleh Akademi DBP. Kursus individu berbayar ini memberikan latihan jangka pendek kepada individu atau masyarakat umum yang dilaksanakan di premis DBP.
Kursus ini merupakan platform terbaik bagi individu yang ingin memperkukuh kemahiran penyuntingan dan memahami dengan lebih lanjut tentang proses penerbitan secara keseluruhannya. Objektif kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada peserta tentang ilmu penyuntingan.

Pembimbing kursus ini merupakan mantan Pengarah DBP Cawangan Sabah, iaitu Tuan Haji Jamaluddin Haji Mohd. Sulung. Semasa perkongsian ilmu tersebut, beliau memberikan penekanan terhadap prinsip-prinsip asas penyuntingan, iaitu substantif dan kopi. Di samping itu, beliau turut menyentuh tentang asas penulisan, aspek bahasa dalam penyuntingan, gaya penerbitan dan latihan penyuntingan kopi.
Menurut seorang peserta kursus, iaitu YBhg. Datuk Dr. Alauddin Sidal yang merupakan mantan Pengarah Institut Tadbiran Awam (INTAN), beliau menyatakan bahawa kursus ini telah memberikan pendedahan yang sangat berguna tentang proses penyuntingan dalam meningkatkan kualiti penulisan. Sebagai penulis, beliau menekankan bahawa pengetahuan dalam penyuntingan merupakan keperluan penting kerana setiap bahan atau karya yang ingin diterbitkan perlu melalui proses penyuntingan terlebih dahulu.
Tambah beliau lagi, antara ilmu baharu yang diperoleh sepanjang kursus ini ialah pemahaman tentang penyuntingan, iaitu sebagai proses atau fasa penting sebelum sesebuah naskhah dapat diterbitkan. Beliau menekankan bahawa penerbitan buku bukan sekadar mencetak manuskrip, tetapi juga satu bentuk wahana untuk memberikan nilai tambah dalam bidang keilmuan kepada masyarakat. Maka itu, melalui kursus ini, peserta dapat meningkatkan pengetahuan mereka, malah pada masa yang sama mengukuhkan kemahiran mereka.
Yang menariknya, kursus ini bukan sahaja memberikan penekanan dalam bentuk teori, tetapi juga menyediakan aplikasi praktikal yang membolehkan peserta mempraktikkan apa-apa yang telah mereka pelajari. Hal ini sangat penting kerana ilmu yang dipelajari harus diterjemahkan dalam bentuk penghasilan manuskrip dan penerbitan buku yang lebih berkualiti.
Sebanyak 21 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah, penulis, editor, pegawai pemasaran dan individu yang terlibat dalam dunia penerbitan telah menyertai kursus pada kali ini. Pelibatan peserta daripada pelbagai latar belakang menjadikan kursus ini lebih dinamik dengan perbincangan dan perkongsian pengalaman yang menarik.

Menurut Penyelaras Kursus, iaitu Puan Noraida Haji Ismail tujuan utama kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada peserta tentang ilmu penyuntingan, kaedah penyuntingan yang sistematik dan berkesan yang dapat membantu meningkatkan kualiti karya yang diterbitkan.
Penyuntingan merupakan satu langkah yang tidak boleh dipandang remeh kerana proses tersebut bukan sekadar membetulkan kesalahan bahasa, tetapi juga memastikan karya tersebut dapat menyampaikan mesej dengan cara yang paling berkesan kepada pembaca.
Keberhasilan Kursus Penyuntingan Berketerampilan Siri 1/2025 ini membuktikan bahawa terdapat keperluan tinggi dalam kalangan masyarakat, khususnya kepada mereka yang berkecimpung dalam dunia penulisan dan penerbitan. Berdasarkan maklum balas yang diterima melalui kursus ini, DBP berhasrat untuk menganjurkan Kursus Penyuntingan Berketerampilan Siri 2/2025 yang dijadualkan pada 1 dan 2 Oktober 2025.
Terdahulu, selain kursus penyuntingan, Akademi DBP juga menawarkan pelbagai kursus lain yang bertujuan untuk memperkukuh penguasaan bahasa Melayu, sastera dan penerbitan. Mereka yang berminat untuk menyertai kursus atau ingin mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan kursus anjuran Akademi DBP, bolehlah melayari laman web rasmi akademi.dbp.my.