Diterbitkan pada 18 Februari 2025, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjalinkan kerjasama dengan Astro Radio News bagi mempromosikan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Hal ini sekali gus dapat meningkatkan identiti nasional rakyat Malaysia bersempena dengan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa pada 21 Februari ini.

Pada era digital ini, radio dilihat masih relevan sebagai medium penyampaian maklumat secara pantas dan meluas kepada masyarakat. Radio juga membantu dalam pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memperkukuh budaya tempatan melalui kandungan seperti temu bual, segmen sastera dan program pendidikan.

Menurut Ketua Operasi Bilik Berita dan Trafik, Astro Radio News, Encik Moganadas Muniandy, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam bilik berita sangat penting untuk memastikan maklumat disampaikan secara seragam dan difahami oleh seluruh rakyat Malaysia.

Menurut beliau,

Sebagai bahasa rasmi negara, bahasa Melayu berperanan sebagai alat perpaduan bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Penggunaannya yang meluas mewujudkan keharmonian serta memupuk semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang etnik.

Tambahnya lagi, dalam dunia kewartawanan, penggunaan bahasa yang tepat dan rasmi meningkatkan kepercayaan terhadap laporan berita, terutama dalam penyampaian maklumat yang berkaitan dengan dasar kerajaan, keselamatan dan ekonomi.

Penggunaan bahasa Melayu secara konsisten dalam bilik berita bukan sahaja mematuhi peruntukan Perlembagaan sebagai bahasa rasmi, tetapi juga berperanan penting dalam membentuk masyarakat yang bermaklumat, bersatu dan bangga dengan bahasa kebangsaan.

Encik Moganadas turut menjelaskan bahawa kerjasama antara Astro Radio News dengan DBP dalam memperkasakan bahasa kebangsaan dapat mengukuhkan jati diri masyarakat dan membina semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Jalinan kerjasama antara DBP dengan Astro Radio News diharapkan dapat mempromosikan penggunaan bahasa Melayu yang betul melalui platform radio dengan lebih meluas.

Sementara itu, Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP, Encik Mohd Fadzli Tajuid yang mewakili DBP dalam temu bual tersebut menjelaskan bahawa DBP sentiasa komited dalam memastikan istilah dan kosa kata baharu selari dengan arus globalisasi dan kemajuan teknologi. Hal ini kerana banyak istilah baharu muncul dalam bidang teknologi, sains, ekonomi dan media pada ketika ini.

Dalam era digital yang pesat berkembang, jika tiada usaha untuk menyesuaikan istilah baharu dalam bahasa Melayu, masyarakat akan cenderung menggunakan istilah asing, sekali gus melemahkan penggunaan bahasa kebangsaan.

Tambahnya, DBP aktif memperkenalkan istilah baharu sambil mengekalkan dan mendokumentasikan perkataan lama agar tidak pupus. Hal ini termasuklah usaha pengemaskinian kamus dan buku rujukan yang menggunakan bahasa Melayu lama.

Pembentangan Belanjawan 2025 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan penggunaan beberapa kosa kata seperti ketimbang, arakian dan seyogia sehingga menjadi bualan masyarakat termasuk media. Usaha ini adalah baik untuk mengangkat kosa kata yang kurang popular dalam kalangan masyarakat.

Encik Mohd Fadzli Tajuid dalam temu bual bersempena dengan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa pada 21 Februari ini.

Tambah beliau lagi, bahasa Melayu mempunyai perbendaharaan kata yang luas dan merangkumi pelbagai bidang. Hal ini menjadikannya lebih dinamik dan berkembang mengikut keperluan zaman.

Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu telah menjadi lingua franca di rantau Nusantara untuk perdagangan dan pentadbiran. Hal ini sekali gus menjadikannya antara bahasa yang mempunyai jumlah penutur yang besar.

Usaha memperkenalkan dan mengangkat semula kosa kata bahasa Melayu lama adalah langkah penting dalam memelihara warisan bahasa. Justeru, kerjasama dengan industri penyiaran seperti radio amat penting dalam memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan memperkukuh kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.

Orang ramai boleh mengikuti rakaman temu bual bersempena dengan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa pada 21 Februari ini, mulai pukul 7.00 pagi di semua stesen Astro Radio termasuk Era, Zayan, Sinar dan Gegar. Rakaman temu bual berkenaan akan turut dimuat naik di laman media sosial Astro Radio News dan DBP.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi