Diterbitkan pada 21 Februari 2025, 23:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu menaik taraf pangkalan korpus sebagai usaha untuk menjadikan DBP pusat rujukan utama bahasa Melayu dalam mana-mana kajian linguistik yang dijalankan oleh pakar bahasa dari seluruh dunia.

Pada hari ini, kebanyakan pakar bahasa menggunakan korpus yang dibangunkan oleh Indonesia kerana ketersediaan pelabelan golongan kata di negara tersebut.

Perkara ini dinyatakan oleh Prof. Madya Dr. Norliza Jamaluddin dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris semasa membentangkan usul dalam Sesi Libat Urus Pembangunan Pelan Strategik DBP 2026–2030 bagi Kluster Bahasa.

Sesi Libat Urus Pembangunan Pelan Strategik DBP 2026–2030 bagi Kluster Bahasa dianjurkan oleh Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP yang bertempat di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, pada hari ini.

Hal yang demikian turut disokong oleh mantan Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera (JBBS), Dr. Rusmadi Baharuddin yang menegaskan bahawa DBP perlu melaksanakan transformasi digital perkamusan, peristilahan dan ensiklopedia untuk mewujudkan hab rujukan utama dalam bidang leksikografi dan leksikologi bahasa Melayu.

“DBP sebagai peneraju dalam aspek perkamusan, peristilahan dan ensiklopedia harus bersedia dari sekarang untuk berada dalam ekosistem yang semasa.”

Penolong Pengurus, Strategi Kumpulan, Telekom Malaysia Berhad, Encik Hafizudin Abu Hanifah pula menyatakan bahawa DBP perlu memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang pada hari ini.

Ujar beliau, “Kita perlu menggunakan infrastruktur yang telah dibangunkan dengan kepakaran tempatan demi kedaulatan data bahasa Melayu tetapi usaha ini perlu dilakukan segera.”

“Namun begitu, cabaran sebenar kita adalah untuk menggalakkan orang awam menggunakan aplikasi yang kita bangunkan sendiri berbanding dengan aplikasi luar seperti Google Translate,” jelasnya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak, Dr. Dilah Tuah menyuarakan keperluan dana penyelidikan untuk memperkaya dan memperkasakan korpus sedia ada terutamanya bagi bahasa peribumi.

“Di universiti, pengajian yang berkaitan dengan linguistik sudah semakin berkurang dan apabila kita hendak membuat program baharu berkaitan dengan penyelidikan bahasa peribumi ini, dikatakan bahawa kajian ini tiada pasaran yang besar.

“Kita berharap, melalui suara dan sokongan DBP, terutamanya dari segi dana penyelidikan, pembangunan program baharu berkaitan dengan bahasa peribumi dapat diperluas,” ujarnya.

Barisan ahli panel yang terlibat.

Sesi Libat Urus Pembangunan Pelan Strategik DBP 2026–2030 bagi Kluster Bahasa yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP ini membincangkan dua tumpuan utama, iaitu “Pemerkayaan dan Pemerkasaan Korpus Bahasa Melayu” dan “Bahasa dan Teknologi”.

Sebanyak 15 orang ahli panel yang terdiri daripada pakar bahasa, pakar bidang, pensyarah, para penyelidik dan pihak berkepentingan dari pelbagai universiti tempatan serta agensi seperti Jabatan Digital Negara, Arkib Negara Malaysia dan Mesolitica Sdn. Bhd. hadir ke sesi ini.

Antara perkara yang disentuh termasuklah isu pendokumentasian kosa kata dialek, bahasa peribumi dan bahasa sukuan; penyelarasan dan pendigitalan data korpus; serta penerapan teknologi AI dalam pembinaan bahasa.

Sebagai catatan, sesi libat urus ini merupakan inisiatif DBP untuk membentuk pelan strategik bagi tahun 2026 hingga tahun 2030 yang selari dengan rangka kerja kerajaan, khususnya dalam pembangunan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Timbalan Ketua Pengarah Dasar, Tuan Haji Md. Johari Hassan semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Mewakili Ketua Pengarah DBP, iaitu Timbalan Ketua Pengarah Dasar, Tuan Haji Md. Johari Hassan, semasa menyampaikan ucapan alu-aluan berkata,

Kami yakin dan percaya bahawa setiap pihak pasti mempunyai pandangan dan ulasan sepanjang pelaksanaan pelan strategik DBP yang lepas.

Tambah beliau, “Kami sudah mengadakan beberapa siri pertemuan seperti ini berdasarkan fungsi DBP, iaitu fungsi bahasa, sastera dan penerbitan serta hal pengurusan yang melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan seperti para penyelidik, para penulis dan syarikat penerbitan.”

“Oleh itu, kami mengalu-alukan usul dan cadangan daripada pihak luar atau pihak dalam bagi penambahbaikan gerak kerja DBP pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir dalam sesi ini ialah Ahli Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Dr. Jeniri Amir selaku pengerusi sesi dan Pengarah JBBS, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi