Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFacebook telah mencapai usia 20 tahun. Jika dihitung dengan usia manusia, Facebook sudah melepasi alam remaja dan kini menuju dunia dewasa. Namun begitu, Facebook bukanlah manusia yang rata-ratanya pada usia itu masih berada di menara gading.
Dalam tempoh dua dekad itu, Facebook bukan sahaja digilai pengikutnya, malah Facebook mengubah kehidupan manusia di planet ini. Diasaskan oleh Mark Zuckerberg dan tiga orang rakannya di bilik asrama, di Universiti Harvard pada 4 Februari 2004, Facebook terus menjadi platform media sosial yang paling banyak digunakan di seluruh dunia. Syarikat itu (Meta) kemudiannya berkembang pesat dengan menggabungkan aplikasi popular seperti WhatsApp dan Instagram. Kini, Meta mendakwa bahawa sekurang-kurangnya tiga bilion orang menggunakan satu daripada produknya pada setiap hari, iaitu Facebook, Instagram, Threads, dan WhatsApp.
Meskipun kemunculan Internet lebih awal daripada Facebook, iaitu kira-kira tahun 1945, namun Internet pada ketika itu hanya digunakan sebagai manual radio sediaan Jabatan Perang Amerika Syarikat. Penggunaan Internet berkembang dalam kehidupan manusia apabila banyak aplikasi secara dalam talian diwujudkan. Pada ketika itulah pengguna Internet semakin berkembang yang mewujudkan budaya secara dalam talian yang memberikan kesan yang besar ke atas ilmu dan pandangan dunia terhadap banyak hal.
Di Malaysia, perkembangan Internet bermula pada awal tahun 1983. Pada tahun 1991, program Joint Advanced Integrated Networking (JARING) dilancarkan. Pada tahun 1996 Telekom Malaysia Berhad memulakan perkhidmatan TMNet dan menjadi pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) yang pertama di negara ini. Selepas itu, lebih banyak syarikat pembekal ISP muncul, antaranya termasuklah Maxis, Digi dan Time dotCom.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2023, penggunaan Internet dalam kalangan rakyat Malaysia kekal tinggi, iaitu sebanyak 97.7 peratus. Aktiviti penggunaan Internet yang paling popular pada tahun 2023 adalah dengan menyertai rangkaian sosial, iaitu 99.4 peratus, diikuti oleh aktiviti memuat turun gambar, filem, video atau muzik; bermain atau memuat turun permainan (93.9%) dan mendapatkan maklumat tentang barangan atau perkhidmatan (92.8%).
Sudah tentu penggunaan Internet dalam kalangan rakyat Malaysia memberikan pelbagai kesan. Dari sisi positif, teknologi itu menjadikan kita mampu mengakses pelbagai maklumat dan data yang diperlukan. Kehidupan manusia dilihat lebih mudah dari segi perhubungan dan jaringan komunikasi. Namun begitu, dari sisi yang lain dan tanpa disedari, pengguan Internet telah menguban cara kita berkomunkasi yakni bahasa yang digunakan.
Pencemaran bahasa yang dimaksudkan merangkumi kesalahan bahasa dan aspek tatabahasa, struktur ayat, ejaan, istilah, penggunaan bahasa rojak dan sebagainya. Hal ini belum menggambil kira penggunaan slanga yang semakin berleluasa kerana banyak dalam kalangan pengguna media sosial yang memilih untuk menggunakan bahasa yang mungkin pada pandangan mereka ringkas dan mudah serta mungkin juga untuk mewujudkan suasana yang dapat menarik perhatian pengguna media sosial yang lain.
Atau adakah mungkin, jika penggunaan bahasa yang baik dan betul digunakan, mereka berasa pengguna media sosial tersebut “ketinggalan” dan kuno untuk berkomunikasi dalam media sosial yang dianggap serba-serbi ringkas dan moden?
Sebagai akibatnya, bahasa yang dahulunya menjadi lingua franca kini kian hilang martabatnya apabila penggunaan bahasa rojak semakin berleluasa. Hal ini menyebabkan bahasa Melayu menjadi bahasa yang rendah martabatnya kerana bangsa yang menggunakan bahasa itu sendiri tidak mempunyai inisiatif untuk memperkasakan bahasa Melayu. Permasalahan ini secara langsung mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan kedudukan bahasa Melayu. Lebih-lebih lagi, telah termaktub dalam perlembagaan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi di negara ini.
Persoalannya bagaimanakah kita perlu berhadapan dengan cabaran ini? Sekolah sudah memainkan peranan yang terbaik dalam membina generasi yang menguasai bahasa Melayu dengan baik apatah lagi apabila mata pelajaran Bahasa Melayu menjadi mata pelajaran yang wajib lulus pada peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Namun begitu, penggunaan bahasa Melayu yang baik tidak wajar hanya digunakan untuk lulus peperiksaan semata-mata. Sewajarnya penggunaan bahasa yang baik itu perlu diteruskan meskipun zaman persekolahan sudah berlalu. Bukankah bahasa itu mencerminkan jiwa bangsanya?
Menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari, meskipun kelahiran generasi baharu banyak memperlihatkan pelbagai perkataan baharu dan moden, akan tetapi pemahaman terhadap perkataan tersebut perlu dititikberatkan. Baginya, mungkin gelombang sedemikian sukar untuk dielakkan, namun sebagaimana dunia di hujung jari, seperti itulah bahan rujukan yang sudah banyak disediakan bagi mengenal pasti perkataan yang tidak difahami. Tambahnya lagi, generasi muda merupakan golongan yang sangat aktif, kreatif dan inovatif dalam menggunakan bahasa yang mewakili kelompoknya.
“Banyak dalam kalangan generasi ini mempunyai pengaruh dan pengikut khususnya di alam maya, dunia perniagaan, penyiaran, media massa dan sebagainya. Banyak juga yang menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan bersusila. Namun demikian, tidak dinafikan masih ada yang tidak mengendahkan bahasa, khususnya bahasa kebangsaan dalam penggunaan harian,” katanya.
Impak daripada penggunaan bahasa Melayu yang tidak sempurna, maka akan terbinalah bahasa kasar yang tidak mengikut sistem tatabahasa indah dan sopan. Maka itu, Semua pihak hendaklah memainkan peranan dalam mengatasi masalah ini. Satu daripada langkah tersebut adalah menerusi peranan ibu bapa. Pepatah melayu ada menyatakan bahawa “melentur biarlah waktu rebung”. Hal ini bermaksud mendidik anak menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul perlulah bermula dari kecil kerana anak yang dilahirkan umpama kain putih, ibu bapalah yang berperanan untuk mencoraknya.
Bagi menangani fenomena dan permasalahan penggunaan bahasa di laman sosial, ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam mendidik dan membimbing anak dalam membentuk cara berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu di rumah sejak kecil lagi. Dengan ini, apabila mereka memasuki alam persekolahan, mereka sudah tahu berbahasa dengan betul apabila berkomunikasi dengan rakan dan guru mereka.
Tabiat berbahasa dengan betul dan gramatis ini akan sebati dalam diri mereka hingga dewasa. Oleh sebab itu, jika ibu bapa mereka merupakan pencinta bahasa Melayu yang sejati, tidak mustahil anak mereka juga memiliki sifat yang sama.
Hal yang demikan juga dengan media massa yang merupakan medium yang paling sesuai dalam menangani fenomena kecelaruan bahasa di laman sosial. Dunia telah membuktikan bahawa media massa merupakan perantara yang paling berkesan dalam menyampaikan maklumat terkini. Lihat sahaja apabila banyak pempengaruh di serata dunia yang memberikan panduan untuk bertutur atau mempelajari bahasa asing seperti bahasa Korea, bahasa Jerman dan bahasa Jepun. Jika diteliti, kebanyakan pengikut mereka adalah dalam kalangan belia dari serata dunia yang berminat untuk mempelajari bahasa asing tersebut.
Usaha yang sama boleh dilakukan oleh pempengaruh di negara ini, iaitu dengan memberikan panduan yang ringkas dalam penggunan perkataan atau tatabahasa yang tepat. Misalnya penggunaan ialah dan adalah atau kata sendi, kata nama, kata kerja dan sebagainya. Panduan yang diberikan perlu dibuat secara santai agar dapat menarik perhatian pengikut di laman sosial. Sekiranya dibuat terlalu formal, pastinya tidak dapat menarik perhatian mana-mana pengikut. Misalnya seseorang pempengaruh mungkin boleh memuat naik aktivitinya sedang bersenam di taman dan menyelitkan panduan bagaimanakah mengenal pasti penggunaan kata kerja dalam susunan ayat yang tepat. Atau, panduan format pantun ketika pempengaruh tersebut sedang memandu kenderaan, memasak atau ketika sedang berdandan.
Dalam hal ini usaha DBP melantik pempengaruh Dr. Malar Santhi Santherasegapan, sebagai ikon bahasa yang merupakan satu daripada usaha untuk menyampaikan asas penggunaan bahasa yang betul dalam kalangan pengguna media sosial perlu mendapat pujian banyak pihak. Hal ini dikatakan demikian kerana DBP kini tidak hanya meletakkan peranan itu kepada munsyi bahasa yang selama ini turut berperanan penting dalam menyebarkan penggunaan bahasa yang betul, tetapi DBP sudah melangkah ke hadapan dengan mengiktirat penggunaan bahasa yang betul dan baik dalam kalangan pempengaruh.
Begitu juga dengan peranan penting yang dimainkan oleh media elektronik khasnya seperti televiseyen. Sudah tiba masanya syarikat penyiaran menetapkan syarat penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam setiap rancangan mahupun drama dan filem yang dihasilkan oleh penerbit tempatan. Menghasilkan apa-apa sahaja produk untuk siaran perlulah menggunakan penerapan bahasa Melayu yang baik dan betul.
Lihat sahaja bagaimana penerbit filem di Korea berbangga dan berjaya menggunakan 100 peratus bahasa Korea dalam filem mereka sehingga mewujudkan fenomena keinginan untuk mempelajari bahasa Korea dalam kalangan peminatnya di serata dunia.
Mencari jalan penyelesaian dalam mengangkat bahasa Melayu itu ke kedudukan yang sewajarnya bukanlah sesuatu yang sukar jika semua pihak menyakini bahawa bahasa Melayu itu mempunyai kekuatan dalam semua bidang. Persoalannya, mahukah kita melakukannya?