Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDahl – 1951
Dahl menulis sebuah karya monumental tentang hubungan Malagasi-Austronesia berjudul Malagache et Maanjan: Une comparaison linguistique. Karya ini merupakan disertasi kedoktoran beliau di Universiti Hamburg, Jerman, yang diselia oleh daya usaha rekonstruksi bahasa Austronesia purba, Otto Dempwolff dan dibantu oleh Walther Aichele. Disertasi in, yang ditulis dalam bahasa Perancis kemudiannya diterbitkan oleh Avhandlinger utgitt av Egede-Institutet, yang berpusat di Oslo, Norway. Oleh sebab kekangan bahasa, maka rumusan di sini dibuat berdasarkan sorotan yang dikerjakan oleh Dyen dan sedikit-sebanyak ulasan mengenainya yang terdapat dalam Blust dan beberapa tulisan Adelaar.
Dalam Malagache et Maanjan, Dahl mengemukakan teori mengenai hubungan bahasa di pulau Madagaskar dengan bahasa-bahasa di Malayonesia, atau yang lebih luasnya bahasa-bahasa Malayo-Polinesia atau Austronesia. Walaupun keraguan bermunculan di sana-sini, namun teori yang diutarakan oleh Dahl itu, menurut Blust, adalah the most significant scholarly achievement, dan menurut cerapan Adelaar adalah yang paling sistematik, dan yang paling meyakinkan, yang pernah dihasilkan ilmuwan mengenai asal usul bahasa di pulau Madagaskar; malah, ia sehingga sekarang pun remain unchallenged.
Keakraban linguistik yang dimaksudkan Dahl, iaitu antara Malagasi dan Maanyan, terserlah sekurang-kurangnya terserlah dari segi sintaktik (morfofonologi, morfologi, morfosintaksis), kosa kata dan perubahan bunyi (fonetik dan fonologi). Dari segi kosa kata dan perubahan bunyi, bahasa Malagasi (dialek Merina) dan dialeknya yang lain memperlihatkan banyak persamaan dengan bahasa Austronesia. Menurut Dahl, terdapat sejumlah 30 (mengikut kiraan Dahl; Adelaar kemudiannya menambah tiga kosa kata) kosa kata Sanskrit dalam bahasa Madagaskar (pinjaman luaran). Kosa kata tersebut, menurut Dahl turut ada dalam bahasa Melayu dan Jawa.
Sebanyak 30 kosa kata Sanskrit berkognat (maksudnya, kata yang memiliki persamaan bentuk dan makna) yang ditemui oleh Dahl dalam bahasa Malagasi, Melayu dan Jawa menghadirkan persoalan penting yang jawapannya memberikan kesan terhadap teori asal usul bahasa Malagasi yang dikatakan berasal dari kawasan penutur bahasa Austronesia dan juga penentuan tarikh penghijrahannya. Persoalan itu adalah bagaimanakah kosa kata Sanskrit tersebut terserap ke dalam bahasa Malagasi? Atau persoalan yang berkaitan adalah disebabkan bahasa Melayu dan Jawa turut memiliki kosa kata tersebut, adakah ini bererti Malagasi meminjamnya daripada kedua-dua bahasa itu?
Dengan tegas (mungkin) Dahl mengatakan tidak. Baginya, sama ada Melayu, Jawa atau Malagasi, ketiga-tiganya meminjam secara terus daripada Sanskrit dan mengekalkannya ke dalam bahasa masing-masing.
Kita tentunya dapat mengagak yang peminjaman ini mungkin terjadi sebelum penutur Malagasi berhijrah ke Madagaskar – bagaimanakah mahu meminjam kalau sudah berhijrah? Dan hal ini secara tidak langsung melemparkan persoalan tentang tarikh penghijrahan ke tengah gelanggang polemik linguistik dan sejarah. Jika ketiga-tiga bahasa tersebut meminjam secara terus, Dahl mempersoalkan bahawa tarikh peminjaman tentunya terjadi ketika pengaruh pengindiaan sedang membuak-buak di Malayonesia. Abad ke-4 dan abad ke-5 menjadi pilihan Dahl. Hal ini kerana rentang masa itulah terpahatnya batu bersurat Kutai untuk Raja Mulawarman, ditulis dalam aksara Palava, yang ditemui di muara Sungai Kaman, Kalimantan.
Hal ini adalah satu bukti bagi menguatkan teorinya. Teori tersebut nampak kukuh kerana terdapat bukti sokongan daripada fakta sejarah yang terdiri daripada batu bersurat. Akan tetapi, ada hal lain di sebalik kekukuhan itu, iaitu sandaran bukti dan pentafsiran. Hal ini terkait dengan sandaran hanya kepada 30 kosa kata, tiang seri teori Dahl masih lemah. Lebih-lebih lagi kosa kata yang dijadikan sandaran itu merupakan kata pinjaman dan dikongsi pula dengan bahasa Melayu dan Jawa yang terkenal sebagai bahasa imperialis – dalam pengertian “memaksa” bahasa lain mengikuti aturannya.
Perkongsian seperti itu menimbulkan pertanyaan. Mungkin hal yang sebenarnya bukan perkongsian melalui peminjaman bersama secara terus daripada Sanskrit, tetapi bahasa Malagasilah yang meminjam daripada bahasa Melayu dan Jawa. Ertinya, bahasa Melayu dan Jawa adalah bahasa sumber yang menyalurkan kosa kata Sanskrit ke dalam bahasa Malagasi. Kita akan melihat bahawa pertanyaan inilah yang menjadi bidikan Adelaar dalam sanggahan beliau terhadap beberapa asas teori Dahl. Jadi, hal itu tidak perlulah dilanjutkan lagi kerana tempatnya akan menyusul nanti.
Jadi, Dahl memerlukan bukti lain yakni kosa kata warisan dan kosa kata pinjaman dalaman (pinjaman daripada dialek atau bahasa serumpun). Dengan menjadikan kosa kata warisan sebagai bahan analisis, hal ini bererti bahasa Malagasi adalah diturunkan daripada induk yang sama, iaitu bahasa Austronesia Purba. Maka, teorinya secara tidak langsung mendapat sandaran yang sedikit lebih kukuh.
Namun, kosa kata warisan kurang membantu ke arah penentuan tempat para penghijrah Madagaskar berasal. Hal ini kerana kosa kata jenis ini mungkin boleh muncul dalam semua bahasa Austronesia. Jikalau semua ada, sudah pasti sukar sekali untuk menentukan tempatnya. Bagaimanapun, masalah ini tidak menggugat keyakinan Dahl yang Borneo adalah pilihan tepat sebagai kawasan asal penutur bahasa Malagasi. Hal ini disebabkan bantuan yang diberikan oleh 30 kosa kata Sanskrit dan batu bersurat Kutai itu. Oleh itu, bagi Dahl tempatnya masih di Borneo. Cuma, kawasan spesifik di Borneo itu sahajalah yang masih menjadi persoalan.
Mujurlah persoalan kawasan spesifik juga berjaya dirungkai. Menerusi analisis perubahan bersama (share innovation) dalam aspek tatabunyi dan kosa kata pinjaman dalaman, Dahl menarik kesimpulan bahawa hubungan bahasa Malagasi akrab dengan bahasa Maayan dari segi perkongsian ciri khas yang menjadi perubahan bersama setelah kedua-dua bahasa ini berpisah daripada bahasa induknya. Kesimpulan ini kemudiannya diuji dan disahkan oleh Isodore Dyen menerusi kaedah leksikostatistik. Dari segi kosa kata pinjaman dalaman pula, bahasa Malagasi banyak mengandungi kata pinjaman Melayu Banjar yang turut muncul dalam bahasa Maanyan. Pinjaman daripada Melayu Banjar tidak menghairankan kerana kedua-dua etnik, Maanyan dan Banjar tinggal di kawasan berhampiran, iaitu tenggara Borneo; malah orang Banjar kerap melakukan ekspansi wilayah ke kawasan orang Maanyan yang kemudiannya menurut Dahl, menjadi sebab berhijrahnya orang Maanyan ke Sumatera.
Adelaar – 1989
Adelaar mentafsir semula penemuan dan teori Dahl. Dalam makalah yang kritis terhadap Dahl ini, ada persoalan penting yang dibangkitkan Adelaar tentang pengaruh bahasa Maayan atau bahasa lain dalam kelompok tenggara Barito (istilah yang pertama kalinya dipakai oleh ahli antropologi, A. B. Hudson bagi merujuk sekelompok bahasa “Dayak” yang akrab di tenggara Borneo) yang dikatakan Dahl menjadi bahasa penyalur kosa kata Sanskrit ke dalam bahasa Malagasi. Letak duduk persoalannya begini. Disebabkan bahagian tenggara Kalimantan tidak mengalami keadaan yang digelar sebagai proses pengindiaan, maka cara kosa kata Sanskrit terserap masuk ke dalam bahasa Malagasi tidak jelas. Analisis Dahl pun tidak membantu penjelasannya.
Tentang perkara ini, walaupun batu bersurat Raja Mulawarman yang ditemukan di muara Sungai Kaman, yang menjadi sandaran kuat Dahl terhadap teorinya itu, dipahat menggunakan aksara Sanskrit/Palava, namun Pulau Borneo yang terkenal sebagai sebuah kawasan yang berhutan belantara itu, tetap kebal daripada menyerap kebudayaan India atau Hindu. Bahkan kita boleh membandingkannya dengan keadaan Borneo terkini yang sangat jelas menjadi bukti bagi menolak adanya pengindiaan atau penghinduan itu.
Maka itu, teori penghijaran Dahl kelihatannya sedikit bermasalah. Tiang serinya mulai bergoncang. Akan tetapi, seperti yang dikesan dalam perbincangan mendatang, tiang serinya tetap tegak, tidak runtuh. Dengan mempersoalkan kewujudan proses pengindiaan di tenggara Kalimantan dan Borneo keseluruhannya, membayangkan penghijrahan ke Madagaskar sebenarnya tidaklah seperti yang Dahl teorikan: dari tenggara Kalimantan terus sahaja mengharungi segara luas, Lautan Hindi, untuk ke sebuah pulau terpencil di sebelah timur benua Afrika, iaitu Madagaskar. Bagaimanakah mungkin terjadi penghijrahan sedemikian? Bagaimanakah mungkin kosa kata Sanskrit sampai ke Madagaskar menerusi bahasa Maanyan sedangkan pengindiaan tidak terjadi di Borneo? Atau, pertanyaan lainnya, bagaimanakah bahasa Maanyan memperoleh kosa kata Sanskrit itu? Tentu ada bahasa lain yang menjadi penyalurnya dan inilah yang cuba dibuktikan oleh Adelaar.
Dalam perbincangannya tentang kata pinjaman, Adelaar membuktikan bahawa banyak kosa kata Malagasi bukan hanya warisan daripada induknya, bahasa Austronesia Purba (BAP – bahasa Austronesia yang diandaikan menjadi induk sebelum penghijrahan keluar Taiwan) atau bahasa Melayu-Polinesia Purba (BMP – cabang Austronesia di luar Taiwan setelah penghijrahan), tetapi turut mengandungi kosa kata pinjaman daripada bahasa Melayu (Sumatera) dan Jawa. Adelaar menumpukan segenap perhatian untuk mengukuhkan cerapan beliau dalam beberapa tulisan yang lain termasuklah dengan memasukkan bahasa di Sulawesi Selatan (bahasa Bugis terutamanya) dan Ngaju Dayak sebagai sumber peminjaman selain bahasa Barito. Tidak seperti Dahl yang hanya terbatas pada peminjaman bahasa-bahasa di Kalimantan. Data Adelaar lebih pelbagai. Kepelbagaian sumber menjadikan gambaran mengenai gejala peminjaman dalam bahasa Malagasi lebih kosmopolitan – isu yang banyak dibicarakan dalam tulisan-tulisan beliau yang terkemusian. Persoalannya, apakah implikasi peminjaman seperti ini kepada teori penghijrahan Dahl?
Dengan hanya melorongkan cerapan ke atas bahasa di tenggara Kalimantan, tentunya tidak menghairankan jika Dahl beranggapan bahawa terjadinya penghijrahan terus dari Borneo ke Madagaskar. Hal ini kerana tidak ditemukan jejak bahasa Austronesia lain (melainkan BAP) dari luar Pulau Borneo dalam bahasa Malagasi. Ertinya, nenek moyang penutur bahasa Malagasi mungkin tidak pernah berkontak atau berhubung dengan penutur bahasa Melayu di luar Borneo sebelum mereka berhijrah. Melainkan hanya satu, iaitu bahasa Melayu Banjar. Itu pun masih melekat di Borneo. Sisi yang diambil Adelaar telah mencabar tanggapan rasmi Dahl. Banyaknya kosa kata pinjaman bahasa dari luar Borneo membawa maksud semua bahasa ini pernah berkontak, pernah berhubung, sebelum penghijrahan terjadi. Dan yang paling penting, Adelaar menegaskan bahawa bahasa Melayu, maksudnya Melayu Sumatera, paling mendominasi berbanding bahasa lain.
Jika demikian, tentunya Pulau Sumatera ada peranan tertentu dalam misteri asal usul Malagasi. Ini dibenarkan Adelaar. Pada Adelaar, peminjaman kosa kata Melayu Sumatera membayangkan dua kemungkinan, iaitu;
i) penghijrahan terjadi dari Sumatera ke Madagaskar;
ii) jika Sumatera bukan tempat bermulanya pelayaran meredah Lautan Hindi, maka peranan penutur bahasa Melayu Sumatera perlu diteliti lagi kerana mungkin mereka inilah, atau penutur bahasa Melayu inilah yang membawa nenek moyang penutur bahasa Malagasi berhijrah sama ada terus dari Kalimantan atau Sumatera. Walaupun terdapat dua kemungkinan, Adelaar mengambil kesendengan terhadap yang pertama, iaitu penghijrahan terjadi dari Sumatera. Kesendengan ini mengambil kira kewujudan Kedatuan Srivijaya antara abad ke-7M hingga ke-13M sebagai empayar dan kuasa maritim terkuat di Malayonesia ketika itu. Abad ke-7M dipilih Adelaar sebagai tarikh penghijrahan. Maka, hal ini secara tidak langsungnya menolak tarikh penghijrahan yang dicadangkan Dahl antara abad ke-5M dan ke-6M.