Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAdelaar tidak berhenti sekadar itu. Tafsiran Dahl tentang 30 kosa kata Sanskrit (33 mengikut kiraan Adelaar) menarik perhatiannya kerana perkara tersebut sangat sentral dalam usaha menyelesaikan misteri penghijrahan. Namun begitu, pertanyaan tetap bermuara, demikian keluh Adelaar. Bagaimanakah kosa kata Sanskrit muncul dalam bahasa Malagasi? Nampak gayanya Dahl masih belum berupaya menjelaskan secara saksama tentang kewujudan kosa kata Sanskrit dalam bahasa Malagasi. Jika tidak, masakan Adelaar masih bertanya sedemikian? Untuk menjawab pertanyaannya sendiri, Adelaar menganalisis semula 30 kosa kata Sanskrit yang didakwa oleh Dahl sebagai pinjaman daripada bahasa Maayan dan bahasa-bahasa dalam kelompok Tengara Barito. Apakah hasilnya?
Pertama, Adelaar membuat perbandingan dengan bahasa-bahasa lain (memang inilah kerja hakiki ahli linguistik perbandingan). Hasilnya menunjukkan bahawa bahasa Melayu dan Jawa turut memiliki kosa kata berkenaan. Bagaimanakah tafsiran Adelaar terhadap penemuan ini? Mengenangkan keperkasaan bahasa Melayu (Sumatra) dalam menyalurkan kosa kata ke dalam bahasa Malagasi dan kewujudan Kedatuan Srivijaya bersama-sama dengan proses pengindiaan ketika kerajaan maritim berkuasa, Adelaar menyimpulkan bahawa bahasa sumber penyaluran kosa kata Sanskrit ke dalam bahasa Malagasi bukanlah bahasa dalam kelompok Barito tetapi bahasa Melayu di Sumatra (dan Jawa). Hal ini mengukuhkan tanggapan Adelaar tentang Sumatra sebagai tanah terakhir yang menjadi tempat hunian penutur awal bahasa Malagasi sebelum belayar ke Madagaskar.
Ada satu hal penting yang ditimbulkan oleh Adelaar tetapi tidak mendapat perhatian Dahl. Hal itu adalah kemungkinan terjadinya perhubungan yang berterusan walaupun selepas penghijrahan pada abad ke-7M. Dengan cerapan ini Adelaar berupaya mengemukan teori tentang kemunculan Islam di kawasan sebelah timur Madagaskar. Menurut teori Adelaar, Islam di kawasan ini diperkenalkan oleh para penghijrah dan kontak yang berterusan dengan orang-orang dari Malayonesia, terutamanya orang Melayu. Dua bukti yang diutarakan oleh Adelaar bagi menopang teori ini ialah etimologi dan tulisan Sarobe.
Berdasarkan etimologi, dua kosa kata bahasa Malagasi menjadi objek analisis, iaitu setra dan sombily. Kedua-dua kata ini, menurut Adelaar, muncul dalam bahasa Malagasi menerusi bahasa Melayu, iaitu setra < ilmu sihir/sihir (Mel) < sihr (Arb); sombily < səmbelih (Mel) < bismillah (Arb); soratra < surat (Mel) < surah (Arb). Selain etimologi, sistem tulisan juga tidak lekang daripada cerapan Adelaar, khususnya tulisan Sarobe. Tulisan ini digunakan oleh masyarakat Islam di sebelah timur Madagaskar. Adelaar berpendapat tulisan Sarobe banyak memperlihatkan persamaan dengan tulisan Jawi, terutamanya bentuk Pegon yang terdapat di Jawa, khususnya dari segi penambahan tanda diakritik terhadap konsonan (huruf) tetentu. Malah, nama Sarobe sebenarnya beretimologikan kata Melayu, surat.
Dahl – 1991
Kritikan, analisis ulang dan kesimpulan Adelaar memberikan kesan yang agak besar terhadap tulisannya pada tahun 1951. Buktinya, Dahl menerbitkan buku ini sebagai tanggapan balas kepada Adelaar dan juga kepada dirinya sendiri.
Dalam karya ini, Dahl melihat kembali teori dan analisis yang beliau utarakan pada tahun 1951 berikutan penilaian kritis daripada Adelaar. Beliau menerima cerapan Adelaar tentang kemungkinan penghijrahan ke Madagaskar terjadi dari Sumatra. Cerapan Adelaar bererti bahawa orang Maanyan tidak langsung berhijrah ke Madagaskar tetapi berhijrah ke Sumatra terlebih dahulu sebelum meneruskan penghijrahan ke Madagaskar. Namun begitu, terdapat persoalan yang tidak dijelaskan oleh Adelaar, iaitu jika demikian laluannya, bagaimanakah dan mengapakah orang Maanyan ke Sumatra? Adakah jejak-jejak mereka di pulau itu ditelusuri? Inilah yang cuba dijawab oleh Dahl.
Persoalannya, mengapakah orang Maanyan berhijrah ke Sumatra? Menurut Dahl, semuanya ada kena mengena dengan kelangsungan hidup di kawasan hunian asal mereka. Ekspansi orang Banjar ke kawasan hunian orang Maanyan telah memaksa sebahagian daripada mereka mencari kawasan baharu. Kawasan itu ialah Sumatra kerana kesesuaian persekitaran dan tanah-tanihnya.
Namun begitu, pertanyaan masih ada: di manakah kawasan Sumatra? Jawapan kepada pertanyaan ini penting kerana maklumat tersebut dapat membantu merungkai jejak-jejak tempat tinggal orang Maanyan di pulau tersebut. Menurut Dahl, Kota Kapur di pulau Bangka merupakan kawasannya. Kawasan ini dipilih disebabkan tanahnya yang subur dan persekitarannya yang menyamai tanah asal yang telah mereka tinggalkan di Borneo. Dahl mempunyai bukti tentang penghijrahan ke Kota Kapur, iaitu batu bersurat Kota Kapur. Dahl menggunakan alasan linguistik sebagai pewajaran terhadap cerapan beliau itu. Menurut Dahl, batu bersurat Kota Kapur memperlihatkan penggunaan kata pembuka (… paihumpaan …) dan struktur linguistik bahasa Maanyan. Dahl menyatakan bahawa struktur linguistik pada batu bersurat itu ialah Old Maayan.
Selain struktur linguistik, Dahl turut menjadikan kandungan batu bersurat sebagai pewajaran tambahan. Menurut Dahl, tujuan batu bersurat Kota Kapur dipahat adalah untuk menyampaikan sumpahan laknat kepada penderhaka atau pemberontak yang tidak mahu takluk kepada Kedatuan Srivijaya. Kata ulu lavan dalam batu bersurat itu ditafsirkan sebagai ‘kepala pemberontak’; dengan ulu < Malayik Purba *qulu yang bererti ‘kepala’. Jika benar batu bersurat Kota Kapur ditujukan kepada orang Maanyan, maka alasannya boleh difahami. Memandangkan orang Maanyan sangat bermusuhan dengan orang Melayu yang disebabkan perampasan tanah mereka oleh Melayu Banjar, maka sudah pasti mereka tidak akan tunduk kepada mana-mana kerajaan yang bersifat Melayu.
Namun begitu, Dahl mengeluh walaupun terdapat bukti daripada batu bersurat, pemilihan Bangka masih meninggalkan persoalan yang belum terjawab. Are there any indications of an early immigration from SE Kalimantan on Bangka? Ternyata jawapannya melegakan. Tulis Dahl, … came to me when I received the draft of what was later published as Lom-Indonesian-English and English-Lom wordlist.
Siapakah orang Lom?
Orang Lom merupakan etnik peribumi yang menghuni di utara pulau Bangka sebelah timur Belinyu, Teluk Klabat. Justeru, Dahl beranggapan orang Lom ialah waris para penghijrah dari tenggara Kalimantan. Namun begitu, dakwaan ini kemudiannya disangkal oleh Bernd Nothofer yang tidak menemui persamaan linguistik yang memadai untuk dikaitkan dengan Maanyan. Dahl memberikan dua pewajaran terhadap pendiriannya. Pertama, Maanyan dan Lom memiliki persamaan dari segi linguistik (terutamanya perkembangan fonetik) dan persamaan dari segi kebudayaan (dua sisi roh dan upacara pengebumian).
Kedua, bagaimanakah orang Maanyan sampai ke Madagaskar? Sedangkan orang Maanyan bukannya pelaut dan tidak pula mahir dalam ilmu pelayaran. Mungkin mereka hanya berpengalaman dalam pelayaran sungai. Kekangan ini tentunya menjadi halangan untuk mereka melakukan pelayaran yang jauh dan mencabar merentasi Lautan Hindi. Hakikatnya, mereka tetap sampai. Cucu-cicitnya tetap bernafas dan terus mencorakkan warna-warni kehidupan di Madagaskar. Bagaimanakah hal ini terjadi?
Pada pandangan Dahl, kedatangan orang Maanyan ke Madagaskar bukanlah bersendirian. Orang Maanyan tidak mengharungi lautan luas dengan usaha pelayaran mereka sendiri. Sebaliknya, mereka telah dibawa ke situ. Oleh siapa? Untuk menjejaki hal ini, Dahl menyelongkar sejarah empayar maritim Srivijaya. Batu bersurat Kota Kapur sekali lagi menjadi objek cerapannya. Menurut Dahl, Batu bersurat ini dipahat ketika Raja Srivijaya mahu menjadikan Palembang sebagai pusat perdagangan yang menghubungkan China dan Barat. Bagi memastikan keinginan ini berjalan dengan lancar, para pelayar yang telah lama bergiat dalam kegiatan perdagangan maritim lama perlu dilibatkan.
Who are these people? tanya Dahl. Mereka ialah orang Sekak. Orang Lom memanggilnya Bajek Laut. Kebiasaannya kita mengenali mereka sebagai Bajau Laut. Menurut Dahl, were the transporters of the Ma’anyan people to Madagascar. Orang Sekak atau Bajau? Terdapat jejak kehadiran orang Sekak atau Bajau di Madagaskar, iaitu di sebelah barat daya pulau tersebut.
Menurut Dahl, di antara muara Sungai Tsiribihina dengan Onilahy terdapat sekelompok etnik yang dipanggil sebagai Vezo. Berdasarkan bukti linguistik (kehadiran konsonan hentian glotis “/ʔ/” dalam dialek Vezo), upacara pengebumian (kepala si mati menghadap ke barat) dan persamaan amalan gaya hidup di darat dan di laut. Dahl beranggapan, … that the Vezo are descendants of the Orang Laut/Bajau in the Riau-Bangka area. Malah, nama ‘Vezo’ juga membayangkan perubahan tatabunyi daripada ‘Bajau’.
Bagaimanakah pula dengan kedatangan Islam yang dibawa oleh orang Melayu? Adakah Dahl memberikan sebarang tanggapan balas? Kelihatannya isu tersebut mengganggu naluri akademiknya. Hal ini jelas kelihatan apabila seawal halaman pertama lagi, Dahl sudah pun menolak teori Adelaar. Beliau tetap berpendapat bahawa agama Islam di Madagaskar dibawa oleh orang Arab, sekali gus menafikan wujudnya perhubungan yang berterusan selepas penghijrahan awal. Dahl mengemukakan tiga alasan untuk menolak pandangan Adelaar seperti yang berikut:
i) Kewujudan komuniti Arab di sebelah timur Madagaskar;
ii) Etimologi; dan
iii) Tulisan Sarobe.
Dua alasan terakhir bertujuan untuk menyanggah analisis Adelaar sebelumnya.
Dahl berpangkal pada penemuan arkeologi sebagai sandaran terkuat untuk menolak teori Adelaar. Dua penemuan arkeologi, iaitu wang emas bertarikh 515H yang ditemui dalam sebuah kubur menunjukkan adanya komuniti Arab yang menghuni kawasan timur laut Madagaskar seawal tahun 1121-1122M. Bagi mengukuhkan lagi alasannya, Dahl turut tidak bersetuju dengan etimologi yang dikemukakan oleh Adelaar. Menurutnya, etimologi Adelaar tidak tepat, iaitu setra tidak berasal daripada kata Melayu sihir/seher kerana bentuknya sangat berbeza; sombily pula bukannya daripada sembelih yang berubah daripada bismillah tetapi daripada sabbil dan sabbala. Etimologi bagi kata yang kedua ini juga ditolak oleh Kees Versteegh yang memetik entri kamus William Lane bahawa kata sabbil dan sabbala terbit daripada sabil Allah yang tidak mempunyai hubungan semantik dengan sombily. Dahl turut menyatakan bahawa tulisan Sarobe bukannya dipengaruhi oleh tulisan Jawi atau Pegon tetapi oleh tulisan Arab Yaman. Demikianlah tiga alasan utama yang dikemukakan oleh Dahl bagi menolak pandangan Adelaar. Kini, kita nantikan apa pula tanggapan balas daripada Adelaar.