Diterbitkan pada 27 Mac 2025, 11:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Penelitian pada Tahun Selanjutnya, Adelaar – 1995.

Hampir 75 peratus perbincangan dalam karya Dahl berlegar pada satu perkara, iaitu mengesahkan teori bahawa moyang penutur bahasa Malagasi di Madagaskar ialah orang Maanyan yang berhijrah ke pulau tersebut dari Sumatra atau lebih tepat dari Pulau Bangka. Sebagaimana yang dinyatakan, bukti terkuat teori ini ialah batu bersurat Kota Kapur yang baris-baris pengenalannya mengandungi bentuk old Maayan. Namun begitu, Adelaar menolak sandaran kuat Dahl terhadap batu bersurat tersebut kerana bahan tersebut hardly capable of translation, and any interpretation remains speculative.

Bukti lain seperti bahasa dan amalan pengebumian orang Lom yang dianggap menyamai amalan di Madagaskar turut disangkal oleh Adelaar. Alasan penolakan Adelaar terhadap penyamaan amalan pengebumian ini amat menarik untuk ditampilkan. Bagi Adelaar, Dahl bermasalah dari segi prinsip kerana Dahl membandingkannya dari segi persamaan yang rawak atau persamaan yang diwarisi sejak turun-temurun oleh masyarakat Austronesia secara umum. Sepatutnya, Adelaar berhujah tentang perbandingan amalan pengebumian seperti yang cuba dilakukan oleh Dahl dengan mempertimbangkan dua perkara seperti yang berikut:
i) Mentafsirkan amalan pengebumian berdasarkan konteks budaya dan kosmologi masyarakat atau kawasan yang diteliti; dan
ii) Ilmu tentang amalan pengebumian yang ada dalam masyarakat Austronesia secara umum.

Tanpa kedua-dua perkara ini, sebarang perbandingan akan misled by superficial ‘look-alikes’ rather than search for significant regularity in agreement seperti yang terimplikasi daripada penelitian Dahl.

Adelaar tidak menolak teori Dahl tentang kemungkinan pulau Bangka sebagai penghubung para penghijrah Maanyan ke Madagaskar. Kerisauannya hanya memikirkan betapa tohornya dasar perbandingan yang digunakan oleh Dahl yang terbatas pada etnik, kawasan dan amalan kebudayaan tertentu. Walau bagaimanapun tidak semua perbandingan yang dibuat oleh Dahl tohor. Satu daripadanya ialah saluran peminjaman oleh bahasa Malagasi. Walaupun Dahl banyak tertumpu pada saluran bahasa-bahasa kelompok Barito dan Melayu, namun beliau turut mengandaikan wujudnya bahasa-bahasa lain. Semua bahasawan Austronesia yang mengkaji asal-usul Malagasi termasuklah Dahl sependapat bahawa bahasa tersebut mengandungi kosa kata pinjaman daripada bahasa Melayu dan beberapa bahasa lain, di samping mengekalkan kosa kata BAP. Namun begitu, Dahl dan para peneliti ini berbeza pendapat tentang identiti bahasa lain tersebut.

Selain menekankan tentang bahasa Melayu, Jawa, Barito dan Ngaju Dayak,  Adelaar turut mencadangkan bahasa Malagasi meminjam kosa kata daripada bahasa Sulawesi Selatan, terutamanya Bugis. Beliau menampilkan 16 kosa kata yang etimologinya berpunca daripada bahasa Bugis. Mungkin Adelaar benar dalam analisisnya, memandangkan Bugis sejak sekian lama dikenali sebagai bangsa pelaut. Kebanyakan kosa kata itu berkaitan dengan aktiviti kelautan. Namun demikian, Bilakah Malagasi meminjam kosa kata berkenaan? Menurut Adelaar, kosa kata berkenaan dipinjam sebelum penghijrahan ke Madagaskar. Alasannya munasabah, iaitu bahasa Barito juga memiliki kosa kata yang sama.

Dalam pada itu, Adelaar tetap bertahan dengan cerapannya tentang wujudnya perhubungan selepas penghijrahan pertama dan berterusan sehingga Malayonesia memeluk Islam. Pendirian ini terus dipertahankan dalam tulisannya yang lain. Berdasarkan kritikan Dahl, Adelaar menerima alasan bahawa etimologi setra bukannya dipinjam daripada kata Melayu sihir/seher. Namun begitu, penerimaan ini sama sekali tidak menggugat pendirian asal beliau.

Otto Christian Dahl meninggal dunia pada tahun 1995. Legasi penelitiannya tentang Madagaskar kekal terabadi dalam tulisan-tulisan beliau (sama ada dalam bahasa Inggeris atau Perancis) yang terus dirujuk oleh para peneliti. Kematian Dahl tidak menghentikan usaha Adelaar. Beliau terus meneliti bahasa Malagasi dan hubung kaitnya dengan dunia Austronesia. Bahkan, kajian-kajian beliau yang terakhir ini memperlihatkan kemajuan, iaitu selangkah atau dua lebih maju daripada Dahl, khususnya dalam rekonstruksi bentuk purba bahasa Malagasi.

Menentukan bentuk purba sesebuah bahasa sangat penting dalam linguistik perbandingan sejarawi kerana hubungan sesebuah bahasa dengan bahasa-bahasa lain yang serumpun dapat diselak. Hal ini membolehkan penjejakan asal-usul bahasa berkenaan dilakukan. Bagi bahasa Malagasi, Adelaar berpandangan rekonstruksi bentuk purbanya membolehkan pengesanan persamaan dan perbezaan dengan bahasa di tanah asalnya, iaitu bahasa Barito Purba, sekali gus memperkukuh teori migration from Kalimantan to Madagascar, ungkapan yang diabadikan oleh Dahl sebagai judul karyanya.

Sepanjang kegiatan kesarjanaan Dahl yang kebanyakannya tertumpu pada usaha untuk membongkar misteri asal-usul bahasa dan etnik yang menghuni Pulau Madagaskar (disamping memperbaik rekonstruksi BAP Otto Dempwolff menerusi dua buah bukunya), beliau tetap setia dengan teori yang dikemukakannya pada tahun 1951, meskipun dengan beberapa perubahan dan penambahan hasil dialognya dengan Adelaar. Teori yang beliau pertahankan itu hanya berteraskan satu tunjang, iaitu bahasa.

Berbekalkan bahasa sebagai penyokong terkuatnya, maka tidak menghairankan jika hal itu menyebabkan banyak aspek teorinya bermasalah. Mujurlah, sebagaimana yang dikatakan oleh Adelaar, teori Dahl masih kekal utuh walau sekuat mana badai melanda. Soalnya, apakah masalahnya? Walaupun teori Dahl dikatakan berjaya menyelesaikan … an important mystery and put an end to various other less well founded speculations about the origins of Malagasy, namun teori tersebut agak kurang mendapat sambutan di luar ilmu linguistik. Bagi Adelaar, terdapat beberapa sebab yang boleh menjelaskannya (dua daripadanya berkait dengan tunjang yang dipakai oleh Dahl – bahasa), iaitu:

  • Dari perspektif linguistik sejarawi, cara Dahl menganalisis data bermasalah kerana terdapat persamaan bunyi yang dicadangkannya bertentangan antara satu dengan lain dan etimologi yang ditampilkan pula kelihatan seperti dibuat-buat. Justeru, beliau gagal menyedari bahawa datanya mengandungi dua lapisan bentuk, iaitu bentuk warisan BAP dan BMP dan pinjaman daripada bahasa luar Barito.
  • Teori Dahl gagal mematuhi aspek tabii tipologi linguistik. Struktur morfosintaktik bahasa Malagasi (struktur jenis bahasa Filipina) lebih konservatif berbanding dengan bahasa-bahasa Barito (struktur jenis Melayu). Persoalannya, bagaimanakan dua bahasa yang rapat memiliki struktur yang sangat berbeza?
  • Kekurangan bukti-bukti yang menyokong teori Dahl daripada bidang-bidang yang lain. Beberapa usaha ke arah itu telah dilakukan, termasuklah melalui pendekatan genetik. Namun begitu, masalahnya masih tetap sama, iaitu cara membandingkan data. Mengapakah dibandingkan DNA orang Maanyan atau etnik-etnik daripada kawasan timur Borneo dan bukannya DNA Austronesia?

Adelaar berusaha mengatasi masalah yang telah disenaraikan. Oleh hal yang demikian, beliau menyarankan satu usaha digerakkan bagi mencari titik temu yang dapat meleraikan misteri hubungan antara Madagaskar dengan Malayonesia. Beliau telah mematuhi saranan tersebut. Dalam dua tulisan yang lain, Adelaar memulakan dialog baharu dengan peneliti-peneliti daripada pelbagai disiplin. Misalnya, Adelaar berdialog kritis dengan ahli etnografi dan genetik. Tujuan dialog ini masih sama, iaitu menyelesaikan misteri disebalik hubungan antara Madagaskar dengan Malayonesia. Beberapa isu penting menjadi tumpuan yang dapat disimpulkan daripada tulisan-tulisan beliau, antaranya:
i) Tentang laluan penghijrahan (menerusi lautan terbuka atau pesisir);
ii) Pengaruh kebudayaan Hindu dan bahasa selatan India yang muncul di Madagaskar (dibawa oleh penutur bahasa Austronesia atau terus dari India); dan
iii) Pengaruh kontak pendudukan pasca-Austronesia.

Kesimpulannya, menerusi ulasan yang dipaparkan, iaitu berkaitan dengan dialog antara Dahl dengan Adelaar tentang asal-usul penutur bahasa Malagasi dapat membuka ruang untuk kita mensyukuri satu perkara yang penting hasil daripada saranan Adelaar. Kini, kita dapat membayangkan arah penelitian yang mendatang, iaitu membekalkan sokongan rentas disiplin kepada teori Dahl yang masih terus bertahan. Hal ini wajar dilihat sebagai satu peluang dalam usaha mencari penyelesaian terhadap isu yang penting.

Persoalannya, mahukah kita? atau yang lebih khususnya, mahukah saya?

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi