Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam membentuk pemikiran masyarakat sejak sekian lama. Bahasa Melayu bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi, malah menjadi cerminan kepada corak pemikiran, nilai dan budaya sesebuah masyarakat. Melalui medium ini, proses pemindahan ilmu, pembinaan identiti nasional dan pembentukan nilai murni dalam kehidupan seharian dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan.
Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu telah berperanan sebagai wahana utama dalam penyebaran ilmu dan budaya. Karya seperti Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu bukan sahaja merekodkan sejarah, malah membentuk pola fikir masyarakat tentang keberanian dan kesetiaan. Melalui penggunaan bahasa Melayu dalam teks dan hikayat, nilai murni seperti hormat-menghormati, kesopanan dan keberanian menjadi sebahagian daripada acuan pemikiran kolektif masyarakat di rantau ini.
Dalam konteks pendidikan moden, bahasa Melayu menjadi bahasa utama dalam penyebaran ilmu di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Penyampaian ilmu melalui bahasa ibunda membolehkan pelajar menguasai konsep kompleks dengan lebih mendalam, sekali gus merangsang pembangunan daya fikir kritis, kreatif dan analitikal yang berpaksikan nilai tempatan. Penggunaan bahasa Melayu sebagai medium pengajaran juga dapat memastikan pemikiran generasi muda kekal berpaut pada akar budaya dan sejarah bangsa.
Selain itu, bahasa Melayu turut berperanan sebagai alat penyatuan sosial. Perkongsian satu bahasa dalam kalangan masyarakat berbilang kaum mewujudkan rasa kebersamaan sesama rakyat. Bahasa Melayu merupakan tunjang kepada pengukuhan integrasi nasional melalui pembentukan ruang pemikiran kolektif yang membolehkan masyarakat menghayati nilai toleransi, hormat-menghormati dan perpaduan. Melalui penggunaan bahasa Melayu, prinsip perpaduan nasional seperti Rukun Negara dapat disebarkan secara meluas dan berkesan kepada seluruh lapisan masyarakat.
Di samping itu, bahasa Melayu juga merupakan medium dalam pembentukan identiti nasional. Dalam dunia yang semakin terdedah kepada pengaruh globalisasi dan budaya asing, pemerkasaan bahasa Melayu sangat penting untuk memelihara jati diri bangsa dan mempertahankan warisan budaya negara. Bahasa Melayu bukan sahaja membentuk cara berfikir, malah mempengaruhi cara masyarakat menilai diri sendiri dan dunia di sekelilingnya. Kegagalan dalam memperkasakan bahasa Melayu menyebabkan masyarakat terdedah kepada penerimaan pengaruh budaya asing, sekali gus mengancam kelestarian identiti budaya asal.
Namun begitu, penggunaan bahasa Melayu sering berhadapan dengan tekanan daripada bahasa antarabangsa, khususnya bahasa Inggeris. Sekiranya fenomena ini tidak dikawal, keadaan tersebut boleh membawa kepada penyusutan peranan bahasa Melayu dalam membentuk pemikiran masyarakat. Oleh itu, tindakan strategik perlu dirangka dan dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan dan kerelevanan bahasa Melayu dalam arus pembangunan global, termasuklah memperkasakan penggunaannya dalam bidang sains dan teknologi serta media digital.
Program kesedaran bahasa Melayu perlu diperhebatkan bagi menanamkan rasa cinta terhadap bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda. Media massa hendaklah memainkan peranan aktif dalam mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan berkesan dalam penyampaian maklumat sama ada melalui saluran berita, program pendidikan atau hiburan. Usaha ini penting untuk memperluas penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian, di samping memperkukuh kedudukannya sebagai bahasa utama dalam semua bidang komunikasi.
Selain itu, sektor pendidikan hendaklah memperkukuh peranan bahasa Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan memperluaskan penggunaannya dalam pelbagai bidang ilmu lain agar bahasa ini terus berfungsi sebagai alat pembentukan pemikiran ilmiah dan kritikal. Penggunaan bahasa Melayu secara meluas dalam pelbagai disiplin ilmu dapat memartabatkan kedudukannya sebagai bahasa ilmu, sekali gus memastikan kelangsungan peranannya dalam membentuk masyarakat berpengetahuan dan berdaya saing pada peringkat global.
Kesimpulannya, bahasa Melayu bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi, malah merupakan pemangkin dalam pembentukan identiti masyarakat Malaysia. Pemerkasaan bahasa Melayu perlu dilaksanakan secara berterusan agar bahasa ini kekal relevan dalam usaha membina bangsa yang berilmu, berbudaya dan berjati diri kukuh. Oleh itu, usaha memperkasakan bahasa Melayu dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, teknologi dan media perlu dipertingkatkan bagi memastikan kedudukannya terus terpelihara sebagai tunjang perpaduan dan pembangunan negara.