Diterbitkan pada 9 Mei 2025, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sebelum merealisasikan transformasi bahasa Melayu dalam era digital, masyarakat perlu menyedari bahawa wujudnya kesenjangan generasi dan memahami ciri-ciri unik setiap kelompok generasi agar pendekatan yang diambil lebih berkesan dan inklusif.

Demikian antara inti pati utama yang dikongsikan Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg. Profesor Dr. Vijayaletchumy Subramaniam dalam ceramahnya yang bertajuk “Transformasi Bahasa Melayu dalam Era Digital” yang berlangsung di Auditorium Akademi Pengajian Bahasa (APB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) pagi tadi.

Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg. Profesor Dr. Vijayaletchumy Subramaniam menegaskan bahawa kesenjangan generasi perlu diambil kira dalam merealisasikan transformasi bahasa Melayu dalam era digital

Menurut beliau, Generasi X (1965–1980) memahami teks dan fakta dengan baik serta berpemikiran rasional namun tidak begitu terdedah kepada inovasi teknologi. Generasi Y (1981–1996) pula memahami fakta tersurat dan memerlukan sokongan dalam pembangunan inovasi. Generasi Z (1997–2010) cenderung kepada penggunaan teknologi dan penerokaan baharu, manakala Generasi Alfa (2011–kini) bergantung tinggi kepada teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Berdasarkan perbezaan ini, beliau menyarankan agar pendidikan Bahasa Melayu untuk generasi Alfa berasaskan teknologi, termasuklah integrasi AI, gamifikasi dan penyampaian dalam bentuk infografik bagi meningkatkan minat serta penguasaan bahasa.

“Ketiga-tiga elemen ini penting dalam memperkasakan bahasa Melayu seiring kemajuan teknologi,” ujar beliau.

Beliau turut membincangkan pelbagai aplikasi yang berkaitan dengan bahasa Melayu seperti pencarian artikel penyelidikan, penyuntingan teks, penterjemahan, gamifikasi dan pembangunan infografik menggunakan AI.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera itu turut dihadiri oleh Pengarah Pembinaan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) UiTM Shah Alam, YBhg. Profesor Dr. Amer Shakir Zainol; Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi DBP, YBrs. Encik Mohd Fadzli Tajuid; Timbalan Dekan Akademik APB, YBrs. Profesor Madya Dr. Norhazlina Husin; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, YBrs. Dr. Muhamad Zaidi Zakaria serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri, YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Fazlin Ramli.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi