Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Puan Faizah Zulkifli dari Jabatan Kejururawatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) telah dinobatkan sebagai Johan Gegar Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) 2025 dalam Majlis Penutupan Gema Bicara yang diadakan pada hari ini.
Puan Faizah Zulkifli yang mengangkat isu kesihatan, teknologi dan kemanusiaan dalam pidatonya yang bertajuk “Perkhidmatan Awam 5.0: Menakhoda Tatakelola Madani” telah membuktikan bahawa beliau bukan hanya pakar dalam bidang jarum dan kesihatan, sebaliknya petah dalam berbicara.
Pertandingan Gegar Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) merupakan pertandingan anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pertandingan ini merupakan satu daripada program yang terkandung dalam program Gema Bicara: Tiga Wahana, Dua Bahasa, Satu Suara.
Sebelum layak ke pusingan akhir pada 29 Mei 2025, Puan Faizah terlebih dahulu menyertai Akademi Pidato Perkhidmatan Awam yang diadakan di INTAN Jalan Elmu serta bersaing dalam pusingan separuh akhir bersama-sama 19 orang peserta yang lain pada 28 Mei 2025.

Menurut Puan Faizah, Akademi Pidato Perkhidmatan Awam telah menghimpunkan penjawat awam pelbagai agensi dan jabatan dari seluruh negara yang mempunyai minat mendalam dalam bidang pengucapan awam terutama pidato.
Menurutnya lagi, Akademi Pidato telah banyak membantu beliau dan peserta lain untuk lebih memahami tentang struktur pidato dan menggali lebih banyak ilmu yang berkaitan dengan pengucapan awam.
Selain penceramah dan fasilitator yang banyak memberikan panduan berkaitan pidato, rakan-rakan peserta juga saling memberikan tunjuk ajar dan membantu dalam susunan teks, intonasi serta gaya persembahan.
Hadiah pertandingan telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Kanan INTAN, Encik Rusli bin Harun yang hadir mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz pada Majlis Penutupan Gema Bicara di Auditorium INTAN Bukit Kiara.
Pemenang lain bagi pertandingan ini adalah Encik Mejarius Polimon (tempat kedua), Dr. Mohd Hazrul Hazwan Badrul Hisham (tempat ketiga), Encik Ramlan Alwi Mahmud (tempat keempat) dan Encik Mohd Norazizi Samsudain (tempat kelima).