Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNilai – Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Program Suara Rumpun Puisi Nasional (SERUMPUN) yang bertemakan “Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih” bersempena dengan Sambutan 25 Tahun USIM anjuran Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM.
Dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani menyatakan bahawa sebagai institusi pengajian tinggi awam yang berteraskan pendidikan serta ilmu aqli dan naqli, USIM bertekad untuk memartabatkan bahasa dan sastera sebagai agenda khusus universiti dalam melahirkan pelajar yang berwibawa dan memiliki citra jati diri.
Menurut beliau lagi, program yang dilaksanakan melalui SERUMPUN ini akan dapat meningkatkan kefahaman para pelajar terhadap tanggungjawab mereka sebagai pelajar dan warganegara yang mencintai negaranya. Elemen nasionalisme dan patriotisme dalam kalangan pelajar sudah tentu dapat dipertingkatkan, manakala apresiasi terhadap bahasa dan sastera dapat diperkasakan secara meluas dalam kalangan para pelajar USIM dan pelajar institut pengajian tinggi awam keseluruhannya.
YBrs. Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah DBP dalam ucapan sambutannya, mengalu-alukan kerjasama strategik yang lebih luas bersama-sama dengan USIM, khususnya dalam bidang penerbitan. Kegiatan dan pelaksanaan program melalui SERUMPUN ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang dan DBP sentiasa terbuka untuk memperluas jalinan kerjasama dalam usaha melestarikan program kebahasaan dan kesusasteraan seperti yang dilaksanakan ini.
Terdahulu menyampaikan ucapan alu-aluan ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, Timbalan Naib Canselor HEPA USIM mendedikasikan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi USIM, khususnya kepada YBhg. Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM atas sokongan dan keprihatinan terhadap penganjuran program SERUMPUN ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik program SERUMPUN, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Pusat Wakaf dan Zakat USIM dan Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM).
Yang turut hadir dalam Majlis Kemuncak SERUMPUN ini termasuklah YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari; YBrs. Dr. Ahmad Fadhlil Pakarul-Razy, Ahli Lembaga Pengelola DBP; Encik Mohd. Salehudin Sukor, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM dan Puan Roziah binti Md Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP.
