Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Datuk Seri Panglima Dr. Musa Haji Aman berkenan melawat tapak pameran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-69 agensi tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada acara rasmi sambutan dan memberikan peluang kepada TYT Tun Datuk Seri Panglima Dr. Musa Haji Aman untuk meninjau pelaksanaan fungsi dan pencapaian utama agensi yang bertanggungjawab memajukan bahasa dan sastera kebangsaan.
Dalam sesi lawatan itu, TYT Tun Datuk Seri Panglima Dr. Musa Haji Aman telah meluangkan masa meninjau dengan lebih dekat peranan dan sumbangan pelbagai jabatan di bawah DBP, termasuklah Jabatan Penerbitan, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Pembinaan serta Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera.
Kesinambungan lawatan diteruskan ke pameran Bahagian Akademi dan Bahagian Pemasaran dan Pengedaran yang masing-masing memperlihatkan inisiatif latihan dan pembangunan sumber manusia dalam bidang bahasa serta strategi pengedaran dan promosi hasil terbitan DBP kepada khalayak umum.

Sementara itu, lawatan TYT Tun Datuk Seri Panglima Dr. Musa Haji Aman ke reruai Jabatan Penerbitan membuka ruang kepada pihak DBP berkongsikan usaha pendigitalan bahan terbitan melalui portal JendelaDBP sebagai langkah memperluas capaian kandungan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Usaha pendigitalan ini merupakan antara inisiatif penting DBP bagi memastikan kandungan ilmiah dan sastera kebangsaan mudah diakses oleh masyarakat umum dalam era teknologi maklumat pada masa ini.
Terdahulu, TYT Tun Datuk Seri Panglima Dr. Musa Haji Aman telah menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP di SICC.