Diterbitkan pada 30 Jun 2025, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Samad (SDASA) mencatat sejarah manis apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Semarak Pantun Sekolah Menengah Negeri Sembilan 2025 yang berlangsung dengan penuh gemilang di Mydin Mall, Seremban 2, semalam.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka ini diadakan sempena Pesta Buku Negeri Sembilan dan telah menghimpunkan 12 pasukan pantun sekolah menengah dari seluruh pelosok Negeri Sembilan.

Aksi pemantun kedua SDASA dalam jual beli pantun sewaktu pusingan akhir.

Pertandingan bagi peringkat saringan dan suku akhir telah berlangsung pada 25 Jun 2025, manakala pada 27 Jun 2025 melibatkan pusingan separuh akhir dan akhir.

Pasukan pantun SDASA dianggotai oleh lima permata muda, iaitu Nur Rahmadanie binti Annuar, Mohd Nor Akmal Altamis bin Norazlan, Nor Balqis Ramadhany binti Jamhary, Mohd Harith Danial bin Ismail, dan Mohamad Aqil bin Mohd Ariff.

Mereka diiringi oleh jurulatih yang juga guru SDASA, Cikgu Nurain Mohd Kamal yang  memainkan peranan besar dalam mempersiapkan pasukan untuk menghadapi pertandingan ini.

Perjalanan pasukan pantun SDASA kali ini bermula dengan menewaskan SMK Jelai Felda pada peringkat saringan, diikuti kejayaan pada peringkat suku akhir apabila menundukkan SMK Batu Kikir. Di pentas separuh akhir pula, pasukan pantun SDASA berjaya mengalahkan pasukan pantun Sekolah Menengah Agama Haji Muhammad.

Kejayaan demi kejayaan ini akhirnya membawa mereka ke pusingan akhir yang mempertemukan pertarungan intelek dan seni antara SDASA dan SMK Datuk Undang Musa Al Haj.

Peringkat akhir ini membawa tema yang mencabar dan kontemporari iaitu “Bahasa Jiwa Bangsa”, “Kecerdasan Buatan” dan “Negeri Sembilan”.

Tema ini telah menguji keupayaan pelajar dalam menyampaikan mesej yang bukan sahaja berunsur warisan, tetapi juga sejajar dengan perkembangan teknologi dan nilai kenegerian.

Menurut Cikgu Nurain Mohd Kamal, kemenangan ini bukan semata-mata tentang kejuaraan, sebaliknya tentang usaha, azam dan kebangkitan semula.

“Tahun lalu, kami tewas di pentas negeri. Namun kekalahan itu tidak mematahkan semangat. Sebaliknya, hal ini menyemarakkan lagi tekad dan membentuk keazaman untuk bangkit lebih kuat. Para pemantun berlatih tanpa jemu, meneliti setiap aspek persembahan dan yang paling penting, mereka belajar daripada kesilapan lalu,” ujarnya lagi.

Keunggulan SDASA dalam pertandingan ini menjadi bukti bahawa seni warisan seperti pantun masih subur dan relevan dalam jiwa pelajar jika disemai dengan baik. Hal ini juga memperlihatkan bahawa medan bahasa bukan sekadar medan estetika, tetapi juga pentas membina minda, jati diri dan nilai bangsa.

Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Perbadanan Perpustakaan Negeri Sembilan, Encik Mohd Rizwan bin Mohd Yusof sewaktu majlis penutup pertandingan.

Kredit Foto: Unit Media Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi