Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Hari ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak bagi menyampaikan hasrat untuk memaklumkan tentang penganjuran Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan melalui Mahkamah Syariah yang akan dilaksanakan pada tahun ini di Sarawak.

Menurut Peguam Besar Negeri Sarawak, Yang Arif Dato Sri Saferi bin Ali, jalinan kerjasama antara Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak dengan DBP perlu terus diperkukuh, memandangkan terdapatnya cabaran bahasa kebangsaan dalam bidang undang-undang khususnya undang-undang sivil.
Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua cabaran ini perlu dipertanggungjawabkan dengan strategi terancang dan berkesan agar bahasa kebangsaan dirai serta diperkasa dalam bidang undang-undang.
Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari turut menyatakan kesediaan kepakaran dari segi bidang bahasa untuk bersama-bersama dengan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak bagi memperkukuhkan bahasa kebangsaan dalam bidang perundangan.
Menurut beliau, DBP memang telahpun terlibat secara langsung serta profesional dalam penelitian dan pelaksanaan bahasa kebangsaan khususnya dalam urusan rasmi kerajaan.
Tambah Dr. Hazami lagi,
Walaupun negeri Sarawak memiliki undang-undangnya berkaitan penggunaan bahasa Inggeris dalam pentadbiran, tidak bermakna usaha menggiatkan pengukuhan bahasa kebangsaan kita kesampingkan.
Pelbagai kaedah, pendekatan serta usaha melibatkan kepakaran bidang bahasa akan melonjakkan negeri ini dalam pemerkasaan bahasa kebangsaan melalui Mahkamah Syariah dan undang-undang secara umumnya.
Turut hadir dalam kunjungan hormat ini ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman bin Abang Julai; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul bin Haji Ismail; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah binti Md Yunus; manakala Pejabat Peguam Besar (SAG) terdiri daripada Peguam Kanan Negeri, YBhg. Profesor Dr. Jady Hassim dan pegawai SAG.